BERITA UTAMA

Lebih sukar daripada jangkaan – Ancelotti

LONDON – Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti berkata, memenangi Kejuaraan Eropah buat kali ke-15 lebih sukar daripada jangkaan juara Sepanyol itu.

Real meledak dua gol di akhir permainan untuk menewaskan kelab Jerman, Borussia Dortmund 2-0 pada aksi final Liga Juara-Juara Eropah di Wembley awal pagi tadi.

“Saya tidak biasa dengannya, kerena ia sangat sukar, lebih daripada yang dijangka. Di babak kedua kami lebih baik, lebih seimbang, kurang kesilapan.

“Ia adalah impian yang berterusan. Di babak pertama kami sambil lewa, kerap hilang bola dan mereka bermain seperti dirancang,” kata Ancelotti.

Penjaring gol pertama Real Madrid, Dani Carvajal berkata, pasukannya bernasib baik tidak dibolosi sebelum rehat susulan asakan bertali arus Dortmund.

“Selepas babak pertama, kami tidak berhak masuk ke bilik persalinan dengan kedudukan seimbang, tetapi inilah bola sepak dan kami sangat gembira,” kata Carvajal.

Pemain tengah Real, Jude Bellingham menganggap ia adalah malam terbaik dalam hidupnya.

“Saya sentiasa impikan bermain dalam perlawanan sebegini. Anda mengharungi kehidupan dengan orang sering berkata yang anda tidak mampu melakukan apa-apa.

“Saya terharu apabila melihat wajah ibu dan bapa saya. Adik saya juga hadir dan saya cuba untuk menjadi contoh kepadanya. Sukar untuk digambarkan. Malam terbaik dalam hidup saya,” kata Bellingham.

Bagi Dortmund, ia satu lagi kekecewaan dalam aksi final Liga Juara-Juara Eropah di Wembley, selepas kekalahan di tangan Bayern Munich pada tahun 2013.

“Kami amat kecewa… menentang Real anda tidak akan mendapat banyak peluang dan mereka sangat berbahaya. Kami mempunyai peluang dan sepatutnya dimanfaatkan.

“Namun 100 peratus ia adalah satu kejayaan untuk datang ke sini dan beraksi di final… kami sangat bangga,” kata penjaga gol Dortmund, Gregor Kobel.

Vinicius menolak masuk gol kedua Real pada minit ke-83 untuk memastikan gelaran Eropah ke-15 Real.

Ia kekalahan yang memeritkan buat kelab Jerman itu selepas beberapa peluang keemasan membuka jaringan di babak pertama gagal dimanfaatkan, terutama menerusi percubaan jarak dekat Niclas Fullkrug yang terkena tiang.

Fulkrug akhirnya berjaya menewaskan penjaga gol Real, Thibaut Courtois di akhir permainan, namun jaringan berkenaan tidak dikira kerana ofsaid. – REUTERS

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *