BERITA UTAMA

Atlet, legenda sukan dunia suarakan solidariti untuk Gaza

ATLET, tokoh dan peminat sukan dunia bersolidariti menunjukkan sokongan kepada Palestin dan mengecam serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Legenda Manchester United dan bekas bintang Perancis, Eric Cantona antara yang mempersoalkan sikap dunia terhadap Israel.

“Adakah masih ada yang membela penjenayah ini? Adakah masih ada yang tidak mengutuk penjenayah? Adakah masih ada yang masih memberi senjata kepada penjenayah ini? Adakah masih ada yang tidak akan memanggil ini sebagai pembunuhan beramai-ramai? Adakah masih ada yang tidak akan mengalirkan air mata atas kekejaman ini?” Cantona, 58, menulis di Instagram.

Cantona sejak Oktober tahun lalu sudah secara terang-terangan menyatakan pendiriannya dengan membuat hantaran di Instagram berkenaan kepentingan memahami maksud slogan ‘Free Palestine’ kepada para pengikutnya.

Juara tujuh kali Formula Satu, Lewis Hamilton menuntut Israel menghentikan serangannya selepas insiden bedilan udara di Rafah yang membunuh puluhan orang awam.

“Cukuplah. Kita tidak boleh terus melihat tragedi ini berlaku dan tidak bersuara. Trauma dan keganasan yang dialami terutamanya kanak-kanak yang tidak berdosa, amat mengerikan. Ini mesti dihentikan; untuk kanak-kanak, untuk keluarga mereka, dan untuk mereka terus hidup,” pemandu Mercedes berusia 39 tahun dari United Kingdom itu meluahkan perasaannya menerusi Instagram Story pada 29 Mei lalu.

Hakim Ziyech dari Maghribi dan Kerem Akturkoglu Turki, yang kedua-duanya bermain untuk kelab bola sepak Turki, Galatasaray, menunjukkan sokongan kepada Palestin semasa sambutan kejuaraan ke-24 kelab itu pada Isnin.

Ziyech mengibarkan bendera Palestin semasa perayaan itu, manakala Akturkoglu memakai keffiyeh Palestin di pergelangan tangannya.

Akturkoglu menyiarkan di akaun Instagramnya gambar tangan yang terbakar dengan perkataan “RAFAH” yang ditulis di seluruh imej dengan hashtag, “RafahOnFire.”

Sementara itu, peminat kelab bola sepak Scotland, Celtic, mempamerkan sokongan dengan bendera Palestin bersama figura kanak-kanak Palestin dan sepanduk.

“Dendam kami akan terbalas dengan gelak ketawa anak-anak kami,” itu yang tertulis pada sepanduk semasa perlawanan akhir Piala Scotland menentang Rangers, minggu lalu. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *