BERITA UTAMA

Kenapa Zaihasra?

DUNIA sastera negara masih didominasi oleh penulis lelaki pada sekitar tahun 70-an dan 80-an.

Banyak tokoh besar, pejuang sastera yang giat dan pada masa sama, pengarang wanita juga mula mencabar dengan kemunculan karya yang setanding seperti Siti Zainon Ismail, Zurinah Hassan, Anis Sabirin, Siti Zaleha M Hashim, Zaihasra dan lain-lain.

Saya selalu mendengar nama Zaihasra. Selalu mendengar cerita mengenainya. Dalam kepala saya, sebagai perbandingan, beliau mungkin ‘influencer’, ‘darling’ dunia sastera di era tersebut.

Mengendalikan rancangan radio, membacakan puisi, menyanyikan puisi. Menjadi sebutan ramai orang. Selebriti sastera, mungkin?

Tetapi sayang, hayatnya tidak lama. Beliau pergi pada tahun 1989 – meninggalkan karya yang sangat sukar untuk dicapai kini. Mungkin kerana itu saya tidak begitu mengakrabi karyanya.

Saya ada dua bukunya, tetapi itu belum cukup untuk menyimpulkan – siapa itu Zaihasra? Bagaimanakah puisi Zaihasra?

Nama yang begitu dominan, disebut-sebut sebagai penyair wanita penting – tapi sayang tidak dapat kita kenali sosok bahasanya. Disebabkan itu, buku ‘Sebuah Cinta Semakin Ungu’ antara yang paling saya suka – kerana kita dapat mengimbau semula puisi-puisi, suara, pergulatan dan pelarian seorang Zaihasra.

Mengetahui serba sedikit kisah hidupnya, perjalanan dari desa ke kota, berdepan cabaran hidup dan membina hidup – serba sedikit terpancar dalam naskhah ini.

Berjuang mencari cinta selalunya satu perjuangan yang sunyi. Setelah bertemu cinta, adakah kita akan gembira – atau sebenarnya akan berdepan dengan pencarian lain yang lebih besar?

Bahasa puisinya romantis, sedikit lewah, tetapi saya tidak hairan apabila mengetahui banyak puisinya dibaca di radio. Bentuk puisi yang digemari untuk dibacakan di khalayak. Kekesalan, ketakutan, curiga, bercampur baur dengan harapan, kekuatan, dan pencarian.

Jika anda peminat puisi, wajib sekurang-kurangnya mengenali bahasa penyair wanita penting era 70 dan 80-an ini. Betapa bahasa puisi kita telah jauh berubah, tetapi sesekali kembali ke dekad ini, ia satu yang sangat mengujakan.

Jika berminat – boleh dapatkan naskhah ini booth KataPilar (tingkat 4, Dewan Tun Razak)

Sumber: Facebook Tukang Puisi

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *