TUMPAT – Mengantuk dipercayai punca seorang pemuda maut apabila kereta dipandunya gagal dikawal lalu terbabas dan melanggar tiang elektrik.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi tadi di Kota Kubang Labu, dekat sini, mangsa yang memandu Perodua Kembara mengalami kecederaan parah dalam keadaan tersepit di tempat pemandu.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, PBK II Lizan Abu Bakar berkata, sebaik menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 3.03 pagi, beliau bersama lima anggota terus bergegas ke lokasi.
Katanya, kemalangan itu hanya melibatkan sebuah Perodua Kembara yang telah terbabas lalu melanggar tiang elektrik.
“Terdapat seorang mangsa yang berada dalam kereta tersebut dan anggota Bomba bertindak menjalankan operasi penyelamatan untuk mengeluarkannya yang tersepit dengan menggunakan peralatan ‘Hydraulic Cutter’.
“Mangsa merupakan seorang lelaki berumur 25 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan KKM,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 4.18 pagi. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252