BERITA UTAMA

12 rakyat Palestin maut, 30 cedera dibedil bom tentera Israel

DEIR AL-BALAH – Keganasan tentera Zionis tidak berkesudahan dengan serangan terbaharu meragut 12 nyawa rakyat Palestin.

Kesemua mangsa terbunuh selepas tentera Israel membedil sebuah stor milik Kementerian Kebajikan di timur bandar Deir Al-Balah di tengah Semenanjung Gaza pada Khamis.

Mayat dan mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Syahid Al-Aqsa di Deir Al-Balah.

Menurut jurucakap hospital berkenaan, Dr Khalil Al Degran, sebahagian besar daripada 12 yang terbunuh merupakan kaum wanita dari Deir Al-Balah.

“Israel membedil menggunakan kereta kebal sebagai sebahagian daripada pembunuhan beramai-ramai oleh tentera pendudukan.

“Kebanyakan mayat hangus, lebih 30 yang cedera tiba di hospital ini. Hospital ini dalam beberapa jam lagi akan berhenti berfungsi kerana kekurangan bahan api sebagai penjana,” katanya.

Hospital Syahid Al-Aqsa di Deir Al-Balah merupakan satu-satunya hospital yang tinggal di tengah Gaza.

Kereta kebal Israel ketika ini sedang maju di tenggara Rafah, mengepung daerah barat bandar Yibna dan terus beroperasi di tiga pinggir timur.

Serangan serentak Israel di pinggir utara dan selatan Gaza bulan ini telah menyebabkan penghijrahan baharu ratusan ribu rakyat Palestin.

Israel pada masa sama dengan kejam memutuskan laluan akses utama untuk mendapatkan bantuan sekaligus meningkatkan risiko kebuluran.

Serangan Israel di Gaza telah membunuh lebih 35,000 orang, dengan ribuan lagi dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan sejak tercetus perang pada 7 Oktober tahun lalu. – Agensi

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *