GEORGE TOWN – Pas Pulau Pinang menafikan dakwaan mengenai laporan keadaan terkini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff yang dikatakan sedang kritikal.
Pesuruhjaya negeri, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, berita itu hanya khabar angin dan tidak benar sama sekali.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang Pulau Pinang menjelaskan, Nor Zamri kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya dan memerlukan rehat yang cukup.
“Keadaan beliau stabil dan masih menerima rawatan di HSJ. Keadaannya juga lebih baik daripada hari itu. Bagaimanapun, beliau masih menerima rawatan dan perlu berehat.
“Beliau sedang direhatkan dan doktor juga menyatakan beliau perlu rehat yang sangat banyak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15, di sini pada Jumaat.
Muhammad Fauzi berkata, beliau sendiri banyak kali melawat ADUN itu dan terbaharu Rabu lalu.
“Mengenai berita yang kata beliau kritikal, itu buah mulut orang saja. Kita ada adab dengan keluarga, jangan buat macam itu. Sebab itu saya tak mahu keluar apa-apa kenyataan.
“Apa keluarga akan rasa? Saya harap media khususnya, dalam penulisan, tulis yang elok-elok. Kita harap beliau sembuh,” katanya.
Jelas beliau, pihak pembangkang sudah menyerahkan sijil cuti sakit Nor Zamri kepada Speaker DUN, Datuk Law Choo Kiang berikutan Nor Zamri tidak akan menghadiri persidangan kali ini.
“Persidangan DUN Pulau Pinang kali ini, wakil pembangkang hanya 10 orang kerana Nor Zamri tidak sihat.
“Sijil cuti sakit pun kami dah serahkan kepada Speaker,” katanya.
Sebelum ini, Nor Zamri dilaporkan ditempatkan di Wad ICU Hospital Seberang Jaya kerana komplikasi di bahagian perut.
Nor Zamri dimasukkan ke hospital susulan sakit perut dan diberikan ubat tidur untuk membolehkannya berehat.
Bagaimanapun, selepas beberapa hari diberi rawatan, beliau dilaporkan stabil dan semakin menunjukkan perkembangan positif.
Susulan itu, isterinya, Musalmah Yusop memohon agar diberi ruang kepada keluarga untuk waktu ini.
Kata Musalmah, suaminya bukan ditidurkan, sebaliknya diberi ubat tidur untuk beberapa hari bagi membolehkannya berehat.
Nor Zamri dari Pas yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri lalu menentang calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose menang dengan majoriti 1,563 dengan mendapat undian 15,433. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252