BERITA UTAMA

Pemilik resort anjur parti liar ‘Aloha Party’ dikompaun RM25,000

TERENGGANU – Pemilik Summer Bay Resort di Pulau Lang Tengah yang menganjurkan parti liar ‘Aloha Party’, Isnin lalu dikenakan kompaun RM25,000 kerana melanggar peraturan di bawah Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pemilik resort juga diarah tidak lagi menganjurkan program berkenaan bagi tahun-tahun akan datang meskipun ia didakwa diadakan secara tertutup khas untuk pengunjung resort.

“Kita telah panggil pemilik resort dan pengurusan untuk beri penjelasan dan daripada penjelasan itu kita dapati banyak perkara atau Prosedur Operasi Standard (SOP) dilanggar.

“Antaranya program itu diadakan secara ulangan setiap tahun tanpa pengetahuan pemegang taruh seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), polis dan sebagainya,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan pemilik dan pengurusan Summer Bay Resort di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian itu kerajaan negeri akan meningkatkan pemantauan di semua resort dan pusat percutian di negeri ini bagi mencegah kejadian seumpama itu daripada berulang pada masa akan datang.

Razali berkata, pihaknya juga akan mengkaji semula enakmen hiburan negeri untuk menaikkan kadar kompaun bagi menimbulkan kegerunan serta pengajaran kepada pemain industri pelancongan yang cuba melanggar peraturan.

“Saya nasihatkan pengusaha dan agensi pelancongan jangan ambil kesempatan untuk melakukan kecelakaan maksiat di Terengganu. Kita ada SOP dan akan ambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang terlibat dengan perkara yang melanggar tatacara dan peraturan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Summer Bay Resort, Datuk Chong Fah Ming memohon maaf kepada kerajaan negeri dan rakyat Terenggganu atas kekecohan yang berlaku.

Menurut beliau, pihaknya akan lebih berhati-hati dalam menganjurkan sesuatu program pada masa depan bagi mengelak daripada menyentuh sensitiviti umat Islam. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *