PRK Sungai Bakap, pengundi Melayu tunjuk sikap luar biasa tolak PH

Pendapat Musa mengenai Ku Li adalah retorik dan hipokrit – Tok Him

KUALA LUMPUR – Pendapat Tun Musa Hitam bahawa Tengku Razaleigh Hamzah sepatutnya menjadi perdana menteri satu ketika dahulu adalah satu kenyataan retorik, kata Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali.

Katanya, bekas Timbalan Perdana Menteri itu seolah buat-buat lupa, ketika itu beliau yang menjadi penghalang kepada Tengku Razaleigh atau Ku Li apabila mencabar bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO.

“Yang menjadi penghalang kepada Ku Li adalah Musa. Bukankah Musa yang mencabar Ku Li jawatan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1981.

“Kalau Musa tak menawarkan diri bertanding di saat akhir, Ku Li patut menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO kerana kedudukannya sebagai Naib Presiden nombor satu dan paling kanan.

“Pertandingan inilah permulaan berlakunya pergolakan dalam UMNO apabila Ku Li pula mencabar Musa pada pemilihan tahun 1984 untuk jawatan Timbalan Presiden,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab kenyataan kononnya berpendapat Ku Li sepatutnya menjadi perdana menteri satu ketika dahulu sekiranya sejarah negara ini dapat diubah.

Namun, kata Musa, kebijaksanaan mantan perdana menteri dua kali, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai ahli politik menjadi penghalang kepada Ku Li untuk menerajui pentadbiran kerajaan.

Sedangkan, kata Musa lagi, Ku Li yang juga bekas Menteri Kewangan pernah muncul sebagai pemimpin muda yang hebat dan namanya menjadi sebutan kerana diterima baik pemikirannya oleh rakyat serta kerajaan.

Menurut Dr. Ibrahim, walaupun kalah, Dr. Mahathir tetap mengekalkan Ku Li dalam Kabinetnya dengan menukar kementerian dari kewangan kepada Menteri MITI.

“Tindakan Dr. Mahathir itu menyebabkan Musa tidak puas hati dan protes, lebih lagi tempat Ku Li di Kementerian Kewangan digantikan oleh Tun Daim Zainuddin sehingga wujud masalah beliau dengan Presiden UMNO ketika itu.

“Apabila Musa letak jawatan, dia bertemu Ku Li dan berpakat melawan Dr. Mahathir pada tahun 1987 dengan beliau bertanding jawaran Timbalan Presiden dan Ku Li jawatan Presiden.

“Strategi beliau adalah untuk menyelamatkan dirinya dan berjaya mendapat semula jawatan itu yang diisi oleh Tun Ghaffar Baba ketika itu,” ujar beliau.

Dr. Ibrahim berkata, dari itu menyaksikan pertembungan Team A dan Team B yang berakhir dengan UMNO diharamkan.

Beliau meminta Musa untuk mengkaji betul-betul fakta itu dan mencari punca siapa yang memulakan pergolakan itu serta individu tertentu di belakangnya.

“Semua pihak tahu Dr. Mahathir di belakangnya dan Tun Hussein Onn pula mengambil pendirian berdiam diri apabila Musa bersetuju menjadi alat melawan Ku Li.

“Sekarang, dia menyalahkan Dr. Mahathir pula dan berpendirian seolah menyokong Ku Li. Ramai sungguh manusia hidup dengan berpura-pura dan hipokrit,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, pada pemilihan UMNO 1987, Datuk Seri Anwar Ibrahim paling kuat berkempen mempertahankan Dr. Mahathir dengan mempertahankan semua projek mega.

“Akhirnya, hari ini semua menuding jari kepada Dr. Mahathir. Seolah bekas perdana menteri itu tidak pernah ada jasa pada merela.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *