Buka sementara UiTM kepada doktor bukan bumiputera demi kepentingan negara – Dr Ibrahim

KUALA LUMPUR – Cadangan supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka sementara kepada pegawai perubatan bukan bumiputera mendapatkan pendidikan lanjutan bidang kardiotoraks disokong bekas Naib Canselor universiti berkenaan, Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah.

Memetik laporan Malaysiakini, Ibrahim Shah menegaskan UiTM tidak boleh membiarkan pegawai perubatan bukan bumiputera itu terkontang-kanting sebegitu sahaja.

Ini kerana, kata beliau, UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks.

Malah, Ibrahim Shah berkata, cadangan itu juga adalah demi kepentingan negara yang ketika ini kekurangan doktor pakar dalam bidang kardiotoraks.

Beliau berkata, sekiranya UiTM tidak berbuat demikian, perkara itu akan memberi masalah dalam aspek kualiti doktor dalam bidang tersebut kerana memiliki sijil dari luar negara yang tidak diiktiraf.

“Kerana itu UiTM sewajarnya menerima mereka secara sementara menunggu UM (Universiti Malaya) membuka program latihan ini.

“Hal ini melibatkan nyawa orang awam, justeru mereka (pegawai perubatan tempatan) harus dilatih ikut silibus yang betul,” katanya.

Mengulas lanjut, Ibrahim Shah menegaskan keterbukaan UiTM untuk membuka pintu kepada doktor bukan bumiputera itu perlu bersifat sementara sahaja.

Beliau turut menganggap rasa kurang senang sesetengah pihak terhadap isu itu sebagai berasas.

Hal itu kerana, katanya, orang Melayu berasa mereka kini semakin ditekan untuk melepaskan hak bangsa sendiri sedangkan rakyat bukan bumiputera masih tidak berintegrasi sepenuhnya di negara ini.

Ibrahim Shah sebelum ini antara pihak yang lantang menolak pengiktirafan program Parallel Pathway dengan menyifatkan program tersebut sebagai ‘haram’.

UtusanTV pada 19 April lalu melaporkan Ibrahim Shah berkata, program kepakaran di universiti tempatan boleh melahirkan lebih ramai pakar berkualiti berbanding program Parallel Pathway.

Tambah beliau, banyak institusi pengajian tinggi dalam negara yang mempunyai kemampuan dan kebolehan menjalankan aktiviti pendidikan kepakaran.

Pada 25 April lalu, portal berita kesihatan melaporkan Anggota Lembaga Program Parallel Pathway Alumni UiTM – Institut Jantung Negara (IJN), Raja Amin Raja Mokhtar berkata, UiTM bersetuju membuka laluan kepada pelatih bukan bumiputera mendapatkan pendidikan lanjutan bidang kardiotoraks di universiti berkenaan.

Susulan itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM membantah cadangan tersebut dengan berpakaian serba hitam sebagai membantah rancangan membuka UiTM kepada pelajar bukan bumiputera.

Bagaimanapun, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, universiti berkenaan kekal dengan dasar pengambilan pelajar sedia ada serta fokus memperkasa bumiputera.

UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama IJN dalam bidang kardiotoraks.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *