Serangan Balai Polis Ulu Tiram: 2 anggota terkorban diklasifikasi Syahid Akhirat

JOHOR BAHRU – Kematian dua anggota polis dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada awal pagi Jumaat, diklasifikasikan sebagai kematian Fi Sabilillah atau Syahid Akhirat, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, disempurnakan dengan melengkapkan empat rukun tahjiz jenazah, iaitu dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan.

Bagi jenazah suspek pula, Mohd Fared berkata, jenazah juga hendaklah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di hospital atau di rumah keluarga suspek sahaja.

“Jenazah suspek tidak dibenarkan untuk dibawa ke mana-mana masjid atau surau untuk urusan berkaitan. Selepas selesai jenazah dimandikan, dikafankan dan disolatkan, jenazah hendaklah dikebumikan di tanah perkuburan yang telah ditetapkan dan kedudukan kuburnya hendaklah berjauhan sedikit dari liang lahad penghuni kubur yang lain,” menurut Mohd Fared lagi.

Katanya lagi, keputusan itu diperolehi hasil Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa yang telah bersidang pada 17 Mei 2024 yang dipengerusikan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.

Beliau berkata, Jawatankuasa Fatwa berpandangan, ia sebagai satu peringatan kepada masyarakat agar tidak terlibat atau melakukan perkara yang dilakukan suspek.

Selain itu, ia juga bagi menzahirkan kebencian terhadap apa yang telah dilakukan suspek, lebih-lebih lagi membunuh pegawai yang menjaga keselamatan negara yang tidak melakukan kesalahan terhadap suspek.

Katanya lagi, Jawatankuasa Fatwa juga mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dan simpati ke atas suspek di atas apa yang telah dilakukannya.

“Jawatakuasa Fatwa mohon kerjasama dan bantuan pihak keselamatan terutama polis agar dapat meletakkan anggota di sepanjang kerja-kerja pengurusan jenazah suspek sehingga selesai pengebumian bagi mengelakkan apa-apa gangguan dan provokasi mana-mana pihak,” katanya.

Pada Jumaat lalu, media melaporkan serangan di Balai Polis Ulu Tiram, mengakibatkan dua anggota polis terkorban, manakala suspek penyerang ditembak mati oleh anggota polis yang lain.

Susulan kejadian itu, polis telah menyerbu rumah suspek dan tangkapan dibuat terhadap lima ahli keluarganya berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun, yang kini sedang direman.

Pada Sabtu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati suspek bertindak sendirian, manakala Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek tiada kaitan dengan Jemaah Islamiyah (JI).

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *