SEREMBAN – Calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, Islah Wahyudi Zainudin memaklumkan beliau akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor pada 11 Ogos ini bagi menghadapi pertuduhan berkaitan satu hantaran di media sosial.
Islah Wahyudi, 46, berkata, beliau menerima notis daripada pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Selasa selepas pegawai agensi itu hadir ke kediamannya bagi menyerahkan dokumen berkaitan pertuduhan tersebut.
Menurutnya, kes berkenaan melibatkan satu hantaran yang dimuat naik menerusi platform Instagram pada Januari lalu.
“Pegawai MCMC datang ke rumah saya pada waktu tengah hari dan memaklumkan saya perlu hadir ke Mahkamah Sesyen Sepang pada 11 Ogos.
“Kes ini melibatkan satu hantaran di Instagram pada Januari lepas. Saya akur dengan proses undang-undang dan akan hadir ke mahkamah seperti diarahkan,” katanya.
Islah Wahyudi berkata, beliau difahamkan pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan kesalahan berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Bagaimanapun, beliau menegaskan prosiding mahkamah yang bakal dihadapinya tidak akan menjejaskan komitmen untuk meneruskan kempen pilihan raya.
“Saya akan terus turun berkempen seperti yang telah dirancang sepanjang tempoh kempen PRN,” katanya.
Dalam pertandingan bagi kerusi DUN Sri Tanjung, Islah Wahyudi berdepan saingan lima penjuru membabitkan penyandang kerusi itu, Datuk Dr G. Rajasekaran yang mewakili Pakatan Harapan (PH), A. Achuthan daripada Barisan Nasional (BN), M. Leevineshwaraan mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta seorang lagi calon Bebas, Datuk A. Saravanan.
Pertembungan lima penjuru itu dijangka menjadi antara saingan yang mendapat perhatian pada PRN Negeri Sembilan kali ini berikutan penyertaan dua calon Bebas selain persaingan antara gabungan utama politik negara.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos.
Setakat ini, MCMC belum mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung pertuduhan yang akan dihadapi calon berkenaan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L