Oleh: Mohd Shah Abdullah
KITA telah merdeka lebih 60 tahun. Apakah jiwa dan minda kita telah merdeka?
Jawapannya tidak! Ini kerana pemikiran kita tidak merdeka. Nurani kita terkurung.
Orang politik banyak menjahanamkan bangsa kita untuk merdeka sepenuhnya. Puncanya, berebut undi, merebut kerusi.
Akibatnya, berlaku polarisasi antara kaum yang dikatakan mahu hidup dalam rukun dan damai.
Kita diseru ikut dan hayati semangat Rukun Negara. Kita mahu wujudkan semangat progresif melibatkan semua kaum. Tetapi, si jembalang politik bersembang kencang.
Siang kutuk mengutuk, malam “peluk memeluk”. Mangsa paling mudah DAP. Apa yang tak dikata pada DAP?
DAP parti perkauman Cina, parti jahat, parti komunis, parti jahanam, cauvinis, parti “Babi” dan semua lagi carut marut, penghinaan, kata nista, umpat keji telah dilemparkan.
Bayangkan kita jadi mereka? Apa perasaan kita bila orang kutuk dan hina kita? Bersih sangat ke UMNO, BN, Pas, MCA, MIC dan semua parti berdaftar di tanah air tercinta ini?
Mengapa hipokrasi kita sampai ke tahap gaban dan hilang pedoman. Bukankah Cina dan semua kaum yang ada di Malaysia ini lahir, membesar dan membayar cukai sebagai warganegara yang sah.
Bukankah sejarah kemerdekaan tanah air dan pembentukan Malaysia kerana persetujuan Melayu, Cina, India dan semua kaum yang lain.
Jika jahat sangat parti DAP yang dikatakan perkauman Cina ini, mengapa tidak dibubarkan atau diharamkan sahaja parti ini pendaftarannya. Mengapa biar DAP wujud?
Saya bukan ahli DAP. Tetapi, saya seorang Muslim, Melayu dan anak Malaysia yang berpegang kepada kesederhanaan.
Saya percaya Malaysia yang cemerlang kerana ditadbir pemerintahan secara campuran dan inklusif. Mesti ada Melayu, Cina, India dan kaum lain di dalamnya.
Pemerintahan mutlak satu kaum yang dominan cenderung kepada anarki. Lebih berbahaya cenderung salah guna kuasa, ketidakadilan, diskriminasi dan penindasan.
Apakah semua dalam DAP buruk, jelek, dan hodoh? Sebenarnya, dalam semua parti baik PKR, UMNO, Pas, parti-parti di Sabah dan Sarawak semua ada noda politik.
Semua bukan bersih tahap dewa. Semua ada “najis politik” cuma kategorinya sahaja sama ada mughallazah atau mutawassitah. (Baca kitab fekah untuk faham istilah ini, tetapi saya gunakan ini hanya untuk metafora politik).
Dalam DAP ada ramai juga pemimpin sosok sederhana seperti Anthony Loke, Steven Sim dan Hanna Yeoh.
Ini jenis pemimpin yang boleh membawa jenama Malaysia yang inklusif. Pemimpin seperti Ronnie Liu wajar direhatkan.
Dalam UMNO, PAS, PKR dan lain-lain parti pun ramai yang beraliran sederhana. Tetapi yang “mereng dan sewel politik” pun ramai juga.
Jadi, dalam konteks pilihanraya negeri (PRN) Negeri Sembilan, gelombang yang cuba dibawa Perikatan Nasional + Barisan Nasional (BN) mengundang hari suram untuk Malaysia
Kuasa pemerintahan mutlak Melayu Islam tanpa dokongan kaum Cina, India dan lain-lain etnik amat berbahaya.
Kita hidup dalam zaman di mana semua negara kini penduduknya heterogenous dan bukan lagi homogenous.
Semua kaum dan agama ada tempat. Lihat England, Dato’ Bandar London adalah warga British beragama Islam.
New York sebuah kota kosmopolitan terhebat di dunia, Datuk Bandarnya, Zohran Mamdani adalah rakyat Amerika beragama Islam.
Apakah mata kita tertutup melihat realiti ini? Lupakah kita setiap hari dalam semua urusan muamalah kita mesti berurusan dengan semua kaum lain, Cina, India dan lain-lain?
Hatta, tayar motosikal bocor pun, kita perlu ke kedai Cina. Beli barang keperluan di gedung kebanyakannya milik bukan Melayu? Apa sempit dan dangkal sangat pemikiran kita?
Maka, dalam PRN Negeri Sembilan kali ini, pengundi jangan terpedaya dengan retorik Melayu, Islam yang sempit.
Sebenarnya, formula Kerajaan Perpaduan sudah cukup baik. Ia formula untuk hidup bersama dan maju jaya bersama.
Ada masalah besar di Perak dan Pahang di bawah Kerajaan Perpaduan? Masih aman dan berjalan lancar kan! Mengapa di Negeri Sembilan tiba-tiba jadi sawan dan hilang pertimbangan.
Saya masih percaya kerajaan negeri mesti terus diterajui pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
Pengundi yang rasional, matang dan sederhana di Negeri Sembilan harus memilih calon-calon Pakatan Harapan (PH) yang nyata lebih inklusif berbanding BN + PN.
Mohd. Shah Abdullah, seorang penulis dan bekas pensyarah komunikasi.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L