Oleh: Mohd Shah Abdullah
Ketika ini kempen Pilihanraya Negeri (PRN) Negeri Sembilan terus rancak.
Politik memang kecanduan yang mengasyikkan.
Politik boleh meluapkan emosi, membangkitkan ghairah luar biasa.
Bukan sahaja pemimpin, tetapi juga penyokong.
Kadangkala dalam satu keluarga pun boleh timbul perbalahan, berkecil hati dan berkonflik.
Dalam satu kampung, satu taman, satu komuniti boleh tak bertegur sapa hanya kerana “bendera” berbeza.
Jangan mudah lupa selagi ingatan kita masih kuat, nostalgia bukan sekadar ingatan sentimental.
Satu negara, sesama umat Islam dan Melayu kita pernah teruk bersengketa hanya kerana satu fatwa “Amanat Haji Hadi” 7 April 1981.
Kononnya, akibat fatwa itu sembelihan tidak sah, perkahwinan terbatal, solat berjemaah dua Imam hanya kerana tidak menyokong parti.
Kesannya melimpjah. Berlaku perpecahan sesama orang Melayu dan Islam kekal sampai hari ini.
UMNO dan Pas menjadi seteru politik jangka panjang.
Pernah dahulu ada usaha untuk debat politik Umno-Pas, namun saat akhir dibatalkan.
Amanat tersebut tidak pernah ditarik balik.
Sehinggalah ke tempoh mutakhir ini, Pas semakin lunak dan mahu “berkahwin” dengan UMNO.
Baharulah sekarang Pas celik politik mengiktiraf pentingnya UMNO demi Perpaduan Melayu, demi ummat dan pengukuhan Islam.
Kononnya, Pakatan Harapan (PH) yang ada di dalamnya DAP yang disifatkan teramat bahaya, lebih bahaya daripada bom nuklear, lebih ganas daripada hantu raya, teramat brutal mengatasi kekejaman Zionis.
DAP mesti dihapuskan daripada peta politik Malaysia.
DAP komunis, DAP cauvinis, DAP jahat. Ini ratib politik yang penuh berirama penyedap halwa telinga pagi petang, siang malam.
Semua orang mesti percaya dakwaan, tuduhan, propaganda dan pelabelan ini kerana selain pemimpin politik dalam UMNO, Pas adalah “bodoh tolol” tak pernah ke sekolah.
Semua kena ikut apa yang orang Pas dan UMNO kata sebab merekalah sahaja pejuang tulen Melayu, penegak syiar Islam terpaling istiqamah.
Yang lain-lain ini, PH, Bersatu, parti-parti di Sabah dan Sarawak semua tidak Islam, semua tak jaga kepentingan Melayu.
Maka, wujudlah kononnya gabungan Perikatan Barisan Nasional (bila entah dokumen rasmi ditandatangani) untuk mengalahkan dan lebih tepat pukul mati, lenyapkan terus DAP.
Kononnya, bila ini semua terjadi jajaran baru akan menguasai politik Malaysia.
Serta merta nanti negara Malaysia akan cukup gemilang, KDNK akan naik melonjak-lonjak, inflasi mungkin sifar, semua harga barang akan turun, mungkin juga kita tak payah berusaha dan bekerja lagi sebab semuanya akan senang lenang.
Malaysia akan aman dan stabil betul sebab DAP sudah tiada dalam peta politik Malaysia.
Yang ada ialah sebuah kerajaan Melayu-Islam di bawah jajaran baru tersebut.
Luar biasa dongeng ini.
Kita lupa ini zaman serba ketidaktentuan.
Geopolitik global pantas berubah. Ekonomi dunia tidak menentu.
Apa yang berlaku di Washington, Eropah, China, Russia, Timur Tengah, Asia Barat semua ada kesan kepada negara kecil seperti Malaysia.
Ada satu maxim “ekonomi bergantung tetap menanggung” mengingatkan bahawa kuasa ekonomi kita senantiasa bergantung kepada kuasa-kuasa luar yang kadangkala di luar kawalan kita.
Maka, kekuatan kita ialah kesatuan rakyat berbilang kaum, kuasa rakyat majmuk dan inklusif yang telah membina negara sejak merdeka 1957 sampai kini dan masa ke muka.
Sementara kuasa Melayu-Islam kekal memimpin, kita tidak boleh meminggirkan sama sekali kaum-kaum lain yang juga warganegara Malaysia yang absah.
Dahulu formula kerajaan Barisan Nasional ((BN) dan kini Kerajaan Perpaduan sebenarnya sudah cukup baik untuk mengekalkan kestabilan, keharmonian dan kemakmuran negara.
Formula itu telah terbukti di peringkat Persekutuan, berjaya di Perak, Pahang dan malahan di Negeri Sembilan sebelum UMNO/BN menarik sokongan.
Sewajarnya Pakatan Harapan (PH) diterajui Datuk Seri Aminuddin Haron diberi peluang dalam PRN ini untuk terus mengemudi Negeri Sembilan selepas 1 Ogos nanti.
Kita perlu mempunyai barisan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri yang bersifat inklusif menggabungkan dan menggambarkan kemajmukan dalam kepimpinan.
Dominasi satu kaum secara mutlak dalam kepimpinan dan pemerintahan hanya menghantar isyarat suram untuk masa depan Malaysia.
Pengundi di Negeri Sembilan jangan mudah terpedaya dengan sentimen dan propaganda jajaran baharu ini.
Negeri Sembilan sudah berada di paras stabil, kukuh dan bersedia melakar lebih banyak kejayaan masa ke muka di bawah Pakatan Harapan.
Kekalkan sahaja kerajaan Pakatan Harapan. Tiada masalah pun setakat ini!
Mohd. Shah Abdullah, bekas wartawan dan Pensyarah Komunikasi
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L