KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan tegas dengan menangkap serta mendakwa mana-mana individu yang didakwa terlibat dalam penyelewengan dana Lembaga Tabung Haji.
Menurut beliau, rakyat mempunyai hak untuk mengetahui identiti individu yang didakwa terbabit sekiranya benar wujud salah laku melibatkan institusi berkenaan.
“Saya mohon kepada YAB Perdana Menteri supaya menangkap dan mendakwa individu yang dikatakan ‘sakau’ duit Tabung Haji. Rakyat berhak untuk tahu siapa yang ‘sakau’ itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Akmal berkata, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu Tabung Haji telah pun dijalankan, justeru beliau berpandangan hasil siasatan itu perlu diterjemahkan kepada tindakan undang-undang sekiranya terdapat bukti kukuh terhadap mana-mana pihak.
“RCI terhadap Tabung Haji telah dilakukan, maka saya mohon supaya didedahkan siapa yang terlibat dan mereka yang didapati menyeleweng itu ditangkap serta didakwa mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Beliau turut membangkitkan isu berkaitan Tabung Haji telah lama menjadi antara topik yang sering dibangkitkan oleh Anwar ketika masih berada di blok pembangkang.
Menurut Akmal, walaupun dakwaan mengenai isu berkenaan telah diperkatakan sejak sekian lama, sehingga kini beliau mendakwa belum ada mana-mana individu yang dibuktikan bersalah melalui proses pendakwaan di mahkamah.
“Sejak zaman PMX menjadi pembangkang lagi isu Tabung Haji ini sering diperkatakan. Namun, sehingga hari ini tiada dakwaan yang berjaya dibuktikan terhadap mana-mana individu di mahkamah berhubung dakwaan tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, Akmal sekali lagi menggesa kerajaan agar bertindak secara telus dan konsisten dengan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah, sekiranya benar wujud penyelewengan seperti yang didakwa.
“Kepada PMX, kami berharap kerajaan dapat menangkap siapa yang dikatakan ‘sakau’ itu dan membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L