Peluang kedua Ben Nathan

KUALA LUMPUR – Selepas 25 tahun hilang daripada radar industri hiburan tanah air, penyanyi popular era 1980-an, Ben Nathan membuat kemunculan semula dengan single baharu berjudul Kebahagiaanmu.

Ben yang meraih populariti menerusi lagu Stanza Sepi Sekeping Hati bersyukur dapat kembali dalam bidang nyanyian selepas berdepan kepayahan hidup dan pernah menjadi gelandangan selama enam tahun.

Ben berterima kasih kepada rakan seperjuangan yang juga Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave kerana membuka jalan kembali menonjolkan bakat.

“Saya suka dengan lagu Kebahagiaanmu dan terima kasih kepada DJ Dave yang menjadi penerbit. Saya sayang dia (DJ Dave) sebab sangat baik melayan saya.

“Keluarga juga sokong saya dan seronoklah. Saya gembira sebab saya ini seorang ‘bintang’ kepada peminat-peminat yang sayang saya,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini memberitahu, dia masih merasakan ada ‘roh’ penyanyi dalam dirinya dan akan terus berusaha menghiburkan peminat yang masih dahagakan lontaran vokalnya.

“Saya ini ‘star’ (bintang), ada peminat. Seronok dapat nyanyi lagu dan saya memang rindu sangat nak menyanyi,” kata Ben yang ketika ini berdepan kesukaran untuk bertutur dengan lancar.

Berbicara kehidupan penyanyi yang memulakan karier sejak 1986 ini, adik bongsunya dikenali Bob, 49, berkata abangnya kini menghuni sebuah rumah penjagaan di Petaling Jaya, Selangor.

“Ketika ini, saya yang menjaga abang. Kesihatan abang sekarang dalam keadaan stabil, walaupun masih perlu mengambil ubat-ubatan tertentu termasuk dibawa berjumpa doktor pakar sekali sebulan untuk pemantauan.

“Setakat ini, syukur, Ben baik-baik sahaja dan kami sekeluarga juga tidak pernah meninggalkan atau mengabaikan Ben selama ini.

“Walaupun ada cakap-cakap kurang baik di luar sana yang mendakwa keluarga abaikan Ben, itu sama sekali berlaku dan tidak benar,” katanya.

Bob berkata, kemunculan semula Ben dengan single Kebahagiaanmu menjadi pengubat rindu kepada peminat yang sudah lama menanti.

“Saya harap Ben berjaya bangkit semula dengan single Kebahagiaanmu dan bersemangat dalam berkarya. Saya akan terus membuat perancangan untuknya merakamkan single kedua, tidak lama lagi.

“Saya yakin abang akan kembali berjaya mengatur kehidupannya dengan sokongan dan kasih sayang daripada kami sebagai ahli keluarga. Begitu juga ibu yang selalu mendoakan Ben berjaya,” katanya.

Single Kebahagiaanmu dirakamkan Ben, tahun lalu, dengan menerima dana Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (CENDANA) bernilai RM20,000.

Sejak mula terbabit dalam bidang muzik, Ben sudah merakamkan beberapa album. Antaranya adalah Stanza Sepi Sekeping Hati pada 1986, Ilusi Satu Penantian (1987) dan Ucapan Tak Seindah Sayang (1989). – BH

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *