ARAU – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diumum Pemangku Raja Perlis selama empat bulan bermula 15 Mei lalu.
Istana Arau dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia berikutan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail akan menjalani pembedahan kaki minggu depan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar dan kemudiannya akan melalui proses rehabilitasi selepas itu.
“Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyeru agar semua rakyat negeri Perlis memberikan sokongan yang penuh kepada anakanda baginda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang akan menggalas amanah sebagai Pemangku Raja Perlis bagi pihak baginda bermula pada 15 Mei 2024.
“Tempoh pemangkuan Tuanku Syed Faizuddin Putra ialah untuk selama empat bulan ketika Tuanku Raja akan menjalani pembedahan kaki pada minggu hadapan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dan seterusnya melalui proses rehabilitasi selepas itu,” menurut kenyataan itu.
Raja Perlis turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri, kaum kerabat Diraja, para sahabat handai dan khususnya rakyat Perlis yang dikasihi atas doa dan ucapan sempena sambutan Ulang tahun Keputeraan Raja Perlis itu yang ke-81 semalam.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah demikian semasa berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam yang diadakan di Mes Pegawai Kanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Perlis, Jalan Raja Muda, Kangar, malam tadi, menurut kenyataan itu.
Turut berangkat, Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid; Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252