BERITA UTAMA

Buku Syed Saddiq singkap ada gerakan cadang lantik Azmin Ali jadi PM pada 2018

SHAH ALAM – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan dalam bukunya, ‘Jalan Tegak’ terdapat cadangan untuk menjadikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Perdana Menteri pada tahun 2018.

Jelas Ahli Parlimen Muar itu, cadangan tersebut telah menyebabkan rasa tidak selesa Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu adalah Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

“Ada pandangan daripada pihak Tun yang menyatakan ini adalah gerakan Azmin untuk membelakangkan Tun.

“Berlaku sedikit tarik tali di antara kedua-duanya kerana masing-masing tidak mahu menjadi yang pertama meminta bertemu,” tulisnya dalam buku tersebut.

Berikutan itu, beliau yang pada ketika itu pegawai kepada Dr. Mahathir cuba menjadi orang tengah untuk mendamaikan kedua-dua pemimpin tersebut.

“Saya cuba menguruskan hubungan antara Tun dengan Datuk Seri Azmin yang ketika itu Menteri Besar Selangor dan juga Timbalan Presiden PKR (Parti Keadilan Rakyat).

“Datuk Seri Anwar Ibrahim pula ketika itu masih berada dalam penjara dan rundingan bagi calon Perdana Menteri ialah detik yang paling getir dan panas,” ujarnya.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei 2018, Dr. Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri ketujuh dan menjadikan Azmin sebagai Menteri Ekonomi dalam Kabinetnya.

Namun, kerajaan PH hanya berusia 21 bulan, tumbang selepas Dr. Mahathir letak jawatan pada 24 Februari 2020.

Pada 30 November 2020, Dr. Mahathir ada mengeluarkan kenyataan bahawa ‘Langkah Sheraton’ yang diatur oleh Azmin untuk menghalang PH memerintah negara adalah bukti beliau juga bercita-cita ingin menjadi Perdana Menteri.

Beliau juga yakin Azmin sudah lama merancang perkara itu kerana menyedari bukan mudah untuk meyakinkan sembilan Ahli Parlimen PKR untuk menyertai Langkah Sheraton itu.

Buku Jalan Tegak yang dihasilkan sendiri oleh Syed Saddiq mempunyai 368 halaman dan turut diselitkan gambar istimewanya sejak kecil sehingga penglibatannya dalam arena politik.

Buku itu juga menceritakan bagaimana kisah sebenar dirinya daripada menjadi penyokong setia Datuk Seri Najib Razak kepada ‘orang penting’ dalam gerakan menjatuhkan Perdana Menteri itu.

Selain itu, beliau turut berkongsi kisah sebenar di sebalik ‘Sheraton Move’, pemansuhan Biro Tatanegara (BTN) dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Undi 18, peranan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentukan kerajaan serta pandangan Tun Daim Zainuddin.

Sebanyak 200 pembeli terawal akan menerima poskad Jalan Tegak, fail khas dan buku ditandatangani Syed Saddiq.

Naskhah itu akan dilancarkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2 Jun ini. – Sinar Harian

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *