KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes rasuah dan seleweng pembinaan telaga jejari yang tidak berfungsi untuk membekalkan air kepada penduduk.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata Kerajaan Kelantan tidak akan menganggu proses penyiasatan yang sedang berjalan.
“Saya menyerahkan kes berkenaan kepada SPRM untuk menyiasat kes ini seadil-adilnya. Kerajaan Kelantan juga ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Datuk Dr Izani Husin berkata SPRM harus menyiasat kes berkenaan secara profesional dan telus.
Semalam, SPRM menahan empat individu lelaki termasuk dua bekas pegawai kanan syarikat air di Kelantan bagi membantu siasatan berkaitan pembinaan telaga jejari yang gagal berfungsi untuk membekalkan air kepada penduduk.
Kesemua mereka yang berusia antara 40 hingga 60-an itu ditahan secara berasingan di sini, antara 7 hingga 10 pagi. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252