MADINAH – Malaysia berdepan risiko hilang keistimewaan yang diberi kerajaan Arab Saudi jika secara berterusan melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan negara itu termasuk menggunakan visa pelancong untuk mengerjakan haji.
Ketua Rombongan Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman mengharapkan rakyat Malaysia jangan menyalagunakan visa itu untuk tujuan melaksanakan haji kerana ia akan mencalarkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang menjaga peraturan dan undang-undang.
“Setakat ini rakyat Malaysia diberi keistimewaan untuk mengerjakan umrah menggunakan visa pelancong. Saya nasihatkan rakyat Malaysia sentiasa patuh dan ikut peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi,” katanya.
Syed Salleh yang juga Pengarah Eksekutif Haji TH berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai 300 jemaah terkandas di Makkah selepas dikatakan terpedaya dengan pakej haji murah yang ditawarkan agensi pelancongan tidak bertanggungjawab.
Pengarang Kumpulan Harian Metro, Hussain Jahit melaporkan Syed Salleh sebagai berkata, jelas bahawa mereka yang datang dari luar Arab perlu ada visa haji, penduduk tempatan dan pemastautin pula perlu mempunyai permit haji untuk melaksanakan haji, selain visa haji tidak sah untuk laksanakan haji.
Syed Salleh (berbaju gelap) memegang pedang ketika meraikan kehadiran jemaah haji KT02 di Makkah semalam
“Visa pelancong, visa umrah, visa perniagaan, visa pelajar dan sebagai semuanya tidak dibenarkan melaksanakan haji melainkan visa haji iaitu visa rasmi bagi setiap negara ataupun mujamalah kepada individu tertentu sahaja untuk menunaikan haji,” katanya lagi.
Kerajaan Arab Saudi dikatakan sudah mula membuat sekatan jalan raya dan memantau jalan tertentu untuk memastikan bahawa hanya yang ada visa haji sah untuk masuk kawasan beribadat haji terutama di Makkah.
“Saya ingin tekankan sudah menerima beberapa laporan daripada kerajaan Arab Saudi bahawa mereka sudah mula membuat tangkapan kepada agensi yang cuba menawarkan khidmat haji kepada mereka yang datang menggunakan visa pelancong ataupun visa umrah,” katanya lagi.
“Sebelum ini pun kerajaan Arab Saudi sudah mengumumkan penguatkuasaan penalti sebanyak 10,000 riyal bagi pelanggaran peraturan dan arahan musim haji termasuk memasuki tujuh kawasan tanpa visa haji yang sah,” katanya.
Bagi ejen yang memberi janji manis pula akan dikenakan denda SAR50,000 dan penjara jika sabit kesalahan.
Beliau menasihat mereka yang datang menggunakan visa pelancong mestilah meninggalkan Arab Saudi sebelum 29 Zulkaedah 1445 iaitu Jumaat ini (17 Mei).
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252