BERITA UTAMA

HAWANA diharap perjuang caruman KWSP, PERKESO wartawan sambilan

IPOH – Penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) merupakan satu daripada platform bagi pengamal media untuk menyuarakan pelbagai pendapat atau permasalahan yang dihadapi, selain menghargai jasa serta sumbangan penulis berita kepada masyarakat dan negara.

Sehubungan dengan itu, Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Sayed Hesham Syed Idris mencadangkan supaya caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terutama bagi wartawan sambilan atau stringer dapat diperincikan dalam perhimpunan terbesar pengamal media berkenaan seterusnya dilaksanakan.

“Selain itu, perlu dipertimbangkan insentif khas seperti kemudahan rawatan kesihatan serta bantuan persekolahan untuk anak-anak pengamal media yang memerlukan.

“Perkara-perkara berkaitan kebajikan media yang dicadangkan pada HAWANA tahun lepas perlu dilaksanakan dan jika ada yang sudah dilaksanakan, ia perlu diperkemas lagi,” katanya kepada Bernama.

Sayed Hesham berkata, walaupun berstatus wartawan sambilan, mereka juga ialah kelompok penting dalam dunia kewartawanan hari ini.

Senada dengan Sayed Hesham ialah Presiden Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak, Rosli Mansor Ahmad Razali yang berharap HAWANA dapat membantu menyelesaikan masalah dialami oleh pengamal media di negara ini.

“Kita tidak mahu HAWANA dilihat sebagai acara tahunan semata-mata, habis program sekadar berlalu sahaja tetapi masalah yang dihadapi (golongan pengamal media) tetap tidak selesai.

“Kita berharap pihak berkepentingan perlu mempunyai sebarang penyelesaian terhadap sesuatu permasalahan yang dihadapi oleh pengamal media sebagai contoh, kadar bayaran untuk wartawan sambilan perlu dinaikkan seiring dengan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini,” katanya.

Bagi Pengerusi Kelab Akhbar Perak, Ivan Loh, beliau turut berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menambah baik kebajikan golongan pengamal media dengan pemberian elaun atau insentif tertentu terutamanya mereka yang tidak mempunyai pendapatan tinggi.

“Sebagai contoh, pakej khas telekomunikasi dengan tawaran diskaun istimewa atau pemeriksaan kesihatan percuma kepada pengamal media,” katanya.

Selain itu, Loh juga mencadangkan supaya kerajaan perlu memperketat undang-undang dan mengenakan tindakan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan kegiatan plagiarisme.

“Memang tidak adil jika ada kalangan mereka yang senang-senang copy and paste sahaja berita daripada portal berita sedangkan wartawan profesional berkerja keras untuk mendapatkan berita dengan info yang sah, tetapi ada pihak yang hanya menciplak berita terbabit tanpa kebenaran,” katanya.

HAWANA 2024 bakal diadakan di Kuching, Sarawak selama tiga hari bermula 25 Mei dan mengangkat tema “Etika Teras Kewartawanan Mapan” dengan kemuncak sambutan akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pelbagai program dirangka antaranya Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 bertemakan “Evolusi Media dalam Era Digital” serta program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa merangkumi enam zon iaitu Sabah, Sarawak, Utara, Timur, Selatan serta zon Tengah yang akan dilancarkan pada 24 Mei ini oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

HAWANA 2024 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama kerajaan Sarawak, manakala Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) selaku agensi pelaksana.

Penganjuran tahun ini ialah edisi keempat selepas diperkenalkan di ibu negara pada 2018, dan sambutan berikutnya di Melaka (2022) dan Perak (2023).

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena dengan penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 dan sambutan itu bertujuan meraikan sumbangan pengamal media yang berperanan membentuk minda masyarakat bermaklumat, selain memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *