BERITA UTAMA

PRK KKB: Selamat mengundi

KUALA LUMPUR – Kira-kira jam 9 malam ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal mengumumkan calon parti yang beroleh kemenangan dalam PRK bagi kerusi DUN Kuala Kubu Baharu.

Sama ada calon Pakatan Harapan (PH) menerusi kerajaan perpaduan, Pang Sock Tao dapat mengekalkan kerusi penyandang itu ataupun ia dimenangi calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut yang merupakan anak tempatan kawasan itu.

Hari ini merupakan proses pengundian di DUN berkenaan melibatkan 39,362 pengundi berdaftar yang bermula jam 8 pagi hingga 6 petang ini.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak mengingatkan pengundi agar membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian bagi memudahkan semakan nama serta membantu kelancaran proses pengundian.

Pengundi juga, katanya, boleh membuat semakan awal maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan melalui portal https://mysprsemak.spr.gov.my, atau menghubungi talian SPR di 03-88927218 atau aplikasi MySPRSemak.

“Penggunaan telefon bimbit dilarang di saluran, manakala pengundi, calon serta petugas yang hendak memasuki pusat mengundi tidak dibenarkan memakai baju, topi, pelitup muka atau sebarang bahan yang mempunyai nama, lambang, simbol atau gambar parti serta calon bertanding.

“Kegagalan pengundi mematuhi peraturan ditetapkan boleh menyebabkan mereka dilarang daripada memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya,” katanya.

Berdasarkan data SPR, seramai 40,226 pemilih layak mengundi termasuk 863 pengundi awal.

SPR turut menasihatkan pengundi mengikut cadangan masa keluar mengundi yang digalakkan dan mengelak daripada keluar pada saat akhir.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan dua calon lagi ialah Hafizah Zainuddin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

PRK Kuala Kubu Bharu turut menyaksikan 46.4 peratus pengundi adalah Melayu, 30.7 peratus (Cina), 18 peratus (India) dan lima peratus (lain-lain).

Sebanyak 18 pusat mengundi dengan 74 saluran mengundi akan mula dibuka dari jam 8 pagi hingga 6 petang, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Bukit Fraser (Tapak Lama) yang mempunyai 40 orang pengundi akan ditutup jam 2 petang.

Dua lagi pusat mengundi yang mempunyai satu saluran iaitu Pusat Pembangunan Pendidikan dan Nutrisi Kanak-kanak Kampung Pertak dan Tadika KEMAS Kampung Gerachi Jaya, yang masing-masing mempunyai 179 dan 199 pengundi tetap dibuka hingga jam 6 petang. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *