BERITA UTAMA

Dua lelaki ditahan bantu siasatan pusat hiburan dibaling bom petrol

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki berumur 25 tahun di Batu Caves petang semalam, bagi membantu siasatan berkaitan kes sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng terbakar akibat dibaling bom petrol awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kedua-dua lelaki tempatan berkenaan ditahan jam 3 petang di sebuah rumah.

“Kita akan mengemukakan perintah reman terhadap kedua-dua suspek terbabit esok (hari ini) dan berdasarkan siasatan awal, kejadian berkenaan tidak melibatkan sebarang unsur ekstremisme,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini semalam.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, pihaknya juga telah mengambil keterangan pemilik premis dan pengurus pusat hiburan berkenaan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya.

Kelmarin, tular video melalui media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan empat individu menaiki motosikal membaling bom petrol di hadapan pusat hiburan terbabit.

Sementara itu, mengulas mengenai 10 suspek termasuk tiga warga asing yang mempunyai kaitan dengan lelaki Israel yang didakwa di mahkamah atas tuduhan memiliki senjata api, Rusdi berkata, semua mereka akan dibebaskan minggu depan dengan jaminan polis.

Beliau berkata, tiga warga asing berkenaan bagaimanapun, akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen bagi tindakan lanjut.

“Mereka akan dibebaskan sebelum tempoh reman tamat pada 14 dan 15 Mei ini, walaupun dibebaskan mereka tetap boleh dipanggil semula bagi membantu siasatan,” katanya.

Pada 30 April lalu, Rusdi dilaporkan berkata, polis akan mengadakan perbincangan dengan Peguam Negara bagi menentukan bentuk tindakan lanjut terhadap individu berkenaan yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Pada 11 April, lelaki Israel yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan memiliki enam senjata api dan 158 butir peluru di sebuah hotel di ibu negara bulan lepas.

Sepasang suami isteri pula mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang pada 8 April terhadap pertuduhan yang berkaitan dengan pemilikan senjata api berkenaan. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *