BERITA UTAMA

Nahas helikopter TLDM: Pesawat, kru dalam keadaan baik untuk terbang

KUALA LUMPUR – Kedua-dua pesawat yang terbabit dalam insiden kemalangan helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut di Perak 23 April lalu disahkan diselenggara dengan baik dan selamat untuk diterbangkan.

TLDM dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan laporan awal kesemua kru yang mengendalikan kedua-dua pesawat terbabit juga disahkan berada dalam tahap kesihatan yang baik.

“Kesemua kru udara terbabit disahkan mempunyai tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat (fit to fly) dan tahap kelayakan penerbangan kru udara terbabit juga masih sah dan tidak tamat tempoh.

“Kerja-kerja selenggaraan kedua-dua pesawat disahkan dilaksanakan mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan oleh pihak pengilang peralatan asal (OEM).

“Kedua-dua pesawat disahkan berada dalam keadaan ‘airworthy’ (selamat untuk terbang) semasa hari kejadian dan keadaan cuaca baik pada hari kejadian,” katanya dipetik Harian Metro dalam kenyataan itu hari ini.

Menurut TLDM, satu Lembaga Siasatan ditubuhkan terdiri daripada sembilan pegawai TLDM yang berkepakaran dibantu oleh Markas Tentera Udara – Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) dan doktor perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kerjasama, kepakaran dan pandangan dari pihak OEM iaitu Leonardo Helicopter dan Airbus Helicopter turut dirujuk bagi melengkapkan siasatan termasuk analisis penuh rakaman perakam maklumat penerbangan atau kotak hitam pesawat HOM.

“Pesawat HOM AW139 mempunyai kotak hitam manakala pesawat Fennec yang dikeluarkan pada tahun 2003 (21 tahun) tidak dilengkapi dengan peralatan itu.

“Data yang dianalisis daripada kotak hitam berkenaan sudah diterima daripada pihak OEM untuk penilaian lanjut oleh Lembaga Siasatan,” katanya.

Menurutnya, Lembaga Siasatan dengan bantuan Airbus dan Fennec sedang mengenal pasti faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan itu berdasarkan analisis profil penerbangan menggunakan simulator dan pesawat sebenar.

Katanya, laporan akhir yang teliti dan komprehensif daripada Lembaga Siasatan dijangka dilengkapkan pada 29 Mei nanti.

“TLDM akan terus berusaha untuk memastikan aspek kebajikan ahli keluarga mangsa nahas diuruskan dengan sebaiknya, terutamanya berhubung dengan ganjaran dan faedah sesuai dengan kelayakan masing-masing.

“TLDM memberi jaminan bahawa siasatan ini dilaksanakan dengan telus dan komprehensif bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *