KUALA NERUS – Pengenalan Piala Amir Amri sebagai trofi baharu kategori Lelaki Terbuka bakal memberikan dimensi berbeza kepada persaingan Kejuaraan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s 2026) yang membuka tirai di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Jumaat ini.
Sebanyak 15 pasukan akan merebut kejuaraan berkenaan dalam kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu, dengan keseluruhan 38 pasukan tempatan mengambil bahagian dalam empat kategori dipertandingkan.
Piala Amir Amri diperkenalkan bagi menggantikan Piala Ung Khek Cheow yang sebelum ini menjadi rebutan dalam kategori berkenaan, sekali gus menandakan perubahan baharu dalam saingan utama kejohanan ragbi tujuh sebelah itu.
Juara bertahan, Kelantan bagaimanapun berdepan laluan sukar dalam misi mempertahankan gelaran apabila diundi dalam kumpulan sama dengan Johor, Selangor dan Pahang.
Kelantan muncul juara edisi lalu selepas menewaskan Johor 17-12 pada perlawanan akhir, namun undian kali ini meletakkan mereka berdepan tiga pencabar yang turut mempunyai reputasi tersendiri dalam arena ragbi tempatan.
Johor yang menamatkan saingan sebagai naib juara tahun lalu pastinya mahu memperbaiki pencapaian, manakala Selangor dan Pahang turut berpeluang mencabar kedudukan juara bertahan.
Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (Malaysia Rugby), Amir Amri Mohammad berkata, penyertaan semula beberapa pasukan pada edisi kali ini dijangka memberikan cabaran berbeza berbanding kejohanan terdahulu.
Beliau berkata, pasukan terbabit dilihat lebih bersedia selepas mempergiatkan pembangunan pemain muda sebagai persiapan menghadapi saingan dalam kategori utama.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Kehadiran beberapa pasukan yang kembali ke pentas National 7s tahun ini bakal memberikan cabaran berbeza berbanding edisi terdahulu. Kebanyakan mereka telah membuat pelaburan besar dalam pembangunan pemain muda dan kini lebih bersedia untuk bersaing dalam kategori utama,” katanya.
Saingan Lelaki Terbuka turut menyaksikan penyertaan semula Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kedah. Terengganu selaku tuan rumah dan Johor menjadi satu-satunya negeri yang menghantar pasukan dalam kesemua empat kategori dipertandingkan.
Bagi kategori lain, lima pasukan akan bersaing dalam bahagian Wanita Terbuka, sementara saingan Bawah 21 Tahun membabitkan 10 pasukan lelaki dan lapan pasukan wanita.
Sementara itu, Selangor yang mencipta kejayaan berganda apabila merangkul gelaran Wanita Terbuka dan Wanita Bawah 21 Tahun tahun lalu hanya akan mempertaruhkan skuad Bawah 21 Tahun wanita kali ini dalam usaha mempertahankan kejuaraan berkenaan. Pasukan wanita senior negeri itu tidak akan mengambil bahagian pada edisi kali ini.
Mengulas persiapan kejohanan ketika Terengganu memasuki fasa Monsun Timur Laut, Amir Amri berkata keadaan cuaca setakat ini tidak dijangka menjejaskan perjalanan pertandingan, namun pihaknya tetap bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Beliau berkata, Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail yang terletak dalam kawasan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus berada di zon bebas banjir, sekali gus mengurangkan risiko gangguan terhadap kejohanan.
Kebanyakan pasukan yang mengambil bahagian juga akan menginap di sekitar kawasan stadium, sekali gus memudahkan pergerakan mereka sepanjang pertandingan berlangsung.
Untuk rekod, Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail menjadi venue National 7s buat tahun ketiga berturut-turut sejak 2024.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
