Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri melawat Singapura

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah akan berangkat mengadakan lawatan ke Singapura selama dua hari bermula esok.

Ini merupakan lawatan pertama baginda berdua sejak menaiki takhta pada 31 Januari lalu atas jemputan Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam.

Wisma Putra menerusi kenyataannya hari ini memaklumkan, keberangkatan baginda diiringi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr. Azfar Mohamad Mustafar.

Ketika lawatan negara ini, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan menerima sambutan negara di Istana Singapura, diikuti pertemuan bersama presiden serta menghadiri Majlis Santapan Negara.

Baginda turut dijadualkan menerima mengadap Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dan Timbalan Perdana Menteri, Lawrence Wong.

Baginda juga telah berkenan untuk mengadakan lawatan ke Parlimen Singapura serta melihat perkembangan projek Rapid Transit Sistem Link (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura.

Lawatan negara ini mencerminkan keutuhan hubungan dua hala yang dinamik antara Malaysia dan Singapura serta mempamerkan komitmen kedua negara untuk mengerat dan mempelbagaikan jalinan kerjasama.

Malaysia dan Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain sejak lebih sedekad lalu dan terbesar dalam kalangan negara anggota Asean.

Pada 2023, jumlah dagangan kedua negara sebanyak RM363.13 bilion (USD79.60 bilion). – Nasionaldaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *