BUTTERWORTH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak laporan media antarabangsa yang dianggap tidak beretika apabila hanya memetik sumber tidak diketahui, kononnya kerajaan akan mengurangkan subsidi bahan api menjelang bulan depan.
Anwar berkata, meskipun perbincangan awal berhubung perkara itu dibuat bersama jemaah menteri, namun belum ada sebarang keputusan muktamad diambil.
“Saya dapati kebelakangan ini mungkin kerana pendirian kita dalam isu-isu politik yang tegas, maka ada media antarabangsa yang menyerang kerajaan dari segi berita-berita yang negatif, umpamanya kasino.
“Ia (kasino) tidak pernah dibincangkan dan maklumat tidak pernah sampai pada saya pun, tetapi dijadikan isu yang panas.
“Kemudian, isu penarikan subsidi pula, walaupun ada perbincangan awal, tetapi tidak ada keputusan muktamad tarikh pelaksanaannya kerana kaedah itu harus diterangkan supaya tidak membebankan rakyat,” katanya dipetik laporan Harian Metro.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai laporan media antarabangsa terbabit.
Terdahulu, Anwar yang juga Presiden PKR mengadakan perjumpaan bersama hampir 100 pimpinan masyarakat Permatang Pauh di sebuah hotel di Seberang Jaya, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau menerima prinsip kebebasan media, namun penulisan yang dibuat perlu beretika dan berlandaskan fakta yang betul.
“Dalam hal pengurangan subsidi bahan api, jemaah menteri belum membuat sebarang keputusan muktamad. Jadi, bagaimana media antarabangsa pastikan sekian dan sekian berita yang tidak sihat.
“Prinsipnya di sini, apa saja penyasaran subsidi bagi saya tegaskan tidak akan membebankan rakyat. Jadi, bila media antarabangsa ini mempermainkan atau memanfaatkan sesuatu isu perlu tengok fakta sumber yang dipercayai.
“Kena rujuk dasar dan mana boleh sekadar sumber. Kalau kerajaan nak umum, kita bagi tahu dengan bagi notis, bukan nak rahsia,” katanya.
Terdahulu, media asing melaporkan Malaysia akan mengurangkan subsidi bahan api menjelang Jun, satu pembaharuan ekonomi utama yang akan menguji sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) ketika rakyat bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.
Media itu, yang memetik sumber rasmi dan industri berkata, harga diesel akan diapung pada kadar pasaran dalam tempoh beberapa minggu selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dan ia akan disusuli dengan kenaikan berperingkat petrol dalam kadar runcit. – Laporan Harian Metro
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252