BERITA UTAMA

Jururawat bunuh pesakit guna insulin dipenjara seumur hidup

WASHINGTON – Seorang jururawat di Amerika Syarikat (AS) yang memberikan dos insulin membawa maut kepada ramai pesakit, baru-baru ini dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Mirror UK melaporkan, Heather Pressdee, 41, menerima tiga hukuman itu, di samping tambahan hukuman penjara antara 380 hingga 760 tahun.

Keputusan itu disampaikan di sebuah mahkamah di Butler, utara Pittsburgh, Pennsylvania.

Pressdee dipercayai menyebabkan sekurang-kurangnya 17 kematian pesakit di lima pusat kesihatan yang terletak di empat daerah berbeza, antara 2020 hingga 2023.

Dia mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pembunuhan.

Mangsa dalam semua kes berusia antara 43 hingga 104 tahun.

Rakan sekerjanya mencatatkan tingkah laku tertuduh yang membimbangkan, dan memperincikan bahawa dia kerap menunjukkan penghinaan terhadap pesakitnya, serta secara terang-terangan membuat komen menghina mereka.

Walaupun kemungkinan hukuman mati ada padanya, Pressdee turut mengaku bersalah atas 19 pertuduhan cubaan membunuh.

Pressdee mula didakwa pada Mei lalu kerana menyebabkan kematian dua pesakit rumah jagaan dan mencederakan seorang lagi.

Siasatan lanjut dalam kes itu merungkai lebih banyak dakwaan kematian pesakit yang dikaitkan dengannya,

Sepanjang prosiding, Pressdee banyak berdiam diri, malah menjawab ‘sepatah-sepatah’ pertanyaan diajukan kepadanya.

“Kerana saya bersalah,” jawab Pressdee dengan tegas ketika diasak oleh salah seorang peguam mengenai pengakuan bersalahnya.

Perbicaraan kes itu menyaksikan ramai mangsa ingin membentangkan kenyataan impak mereka. – AGENSI

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

1

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *