KANGAR – Suatu ketika dahulu, dunia Islam menjadi agung kerana wacananya luas, di mana khalifah mendengar pandangan yang berbeza, di samping membenarkan perbahasan sihat oleh ulamak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, umat Islam di negara ini perlu mencontohi semangat sama dengan menggalakkan pencerahan, bukan membiarkan rakyat celaru serta bergaduh.
Kata beliau, rakyat juga perlu dibiasakan dengan kefahaman supaya tidak pantas menghukum akibat didorong oleh kedangkalan ilmu.
“Hanya budaya ilmu yang subur mampu memastikan kita dapat menguasai pengetahuan baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital, sekali gus memastikan negara ini berjaya dalam jihad berdepan tantangan mendatang.
“Saya menyambut baik pendekatan Jabatan Mufti Perlis yang menjemput saya hari ini bagi meraikan perbezaan pandangan menerusi wacana yang bebas dan segar,” kata ketika berucap merasmikan Program Perkampungan Sunnah – Jihad Memartabatkan Dakwah, Mempertahankan Ummah di Masjid Alwi di sini, malam tadi.
Turut hadir, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.
Dalam ucaptama itu juga Anwar turut mengupas konsep jihad membawa perubahan.
Beliau memulakan dengan menyingkap jihad warga Palestin yang dizalimi rejim zionis Israel secara berterusan dengan dukungan negara barat khususnya Amerika Syarikat (AS).
Kata Anwar, lebih mengecewakan adalah kelesuan suara pimpinan negara Islam yang hilang upaya dan kekuatan untuk menyatakan sikap keras serta tegas bagi menuntut kezaliman itu dihentikan.
“Betapa umat keseluruhannya sama ada pimpinan politik, ulamak, sarjana, petani, nelayan mahupun pekerja perlu bangkit daripada kealpaan, kecuaian dan kelemahan jika mahu melihat perubahan sebenar.
“Menelusuri sejarah khalifah dan pejuang lampau, saya percaya perubahan dan reformasi yang kukuh dan berkekalan hanya boleh dicapai sekiranya kita bermula dengan membina kekuatan dalaman memperbaiki tatakelola dan menangani rasuah sistemik dalam negara.
“Ramai hanya bicara soal warak dan zuhudnya Khalifah Umar bin Abdul Aziz apabila menelaah kepemimpinannya. Namun Umar Abdul Aziz juga adalah teladan yang baik dalam aspek kenegaraan, di mana beliau menekankan soal tatakelola dengan membenci dan menolak rasuah,” kata beliau.
Begitu juga kata Anwar, kisah keagungan Salahuddin Al-Ayyubi yang banyak tertumpu kepada kejayaannya dalam perang menawan Baitulmuqaddis, namun ditinggalkan kehebatannya mengatur tatakelola, mengimarahkan masjid sebagai tempat menyuburkan wacana serta amanah dan tidak merompak harta rakyat. – Nasionaldaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252