BERITA UTAMA

Rampasan Bugatti di Jerman dedah kejahatan Jho Low

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menyambut baik usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis untuk mendapatkan maklumat terperinci dari pihak berkuasa Jerman berhubung rampasan empat kereta mewah model Bugatti Veyron minggu lalu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, rampasan kereta itu dipercayai ada kaitan dengan skandal 1MDB, tetapi pada masa sama, ada pihak sudah cuba memfitnah Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kata beliau, sebenarnya ada dakwaan kereta mewah itu milik Khadem Al-Qubasi iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IPIC dan Pengerusi syarikat Aabar.

“Dia dan rakan subahatnya, Mohd Al Husseiny iaitu bekas CEO Aabar adalah pemilik ‘Aabar’ palsu. Ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low, Khadem dan Mohd Al-Husieny menubuhkan ‘Aabar’ palsu ini.

“Sebab itu menangkap dan membawa balik Jho Low adalah amat penting sekali kerana ramai teraniaya khususnya Najib.

“Orang ramai tidak faham wujud dua syarikat,atas nama Aabar. Aabar tulen ialah Aabar Investment PJS, manakala ‘Aabar’ palsu ialah Aabar Investment PJS Ltd (BVI). Nama hampir sama untuk menipu,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut Puad, Jho Low, Khadem dan Al Husieny telah membuka akaun atas nama ‘Aabar’ palsu dan akaun itu digunakan untuk memindah duit USD$2.4 bilion (RM11.4 bilion) dari 1MDB.

Soalnya, kata beliau, kenapa Bank Negara Malaysia (BNM) meluluskan transaksi duit 1MDB ke luar negara tanpa disemak ketulenan akaun tersebut.

“Siapa Gabenor BNM pada masa itu?

“Di Mahkamah USA, Tim Leissner memberitahu, BNM membenar 1MDB pindah duit USD$ 1 bilion kepada PetroSaudi International (PSI) dalam tempoh satu malam. Begitu mudah?

“Tim Leissner sudah dihukum. Mohd Huseiny dan Khadem pula dihukum penjara oleh kerajaan UAE. Kenapa Jho Low masih bebas. Kenapa Zeti Akhtar Aziz tidak disiasat?,” soal beliau. – Nasionaldaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *