BERITA UTAMA

Gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus, tertinggi dalam sejarah

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam sebanyak lebih 13 peratus bermula 1 Disember 2024/

Menurut Anwar, kenaikan itu adalah yang paling tinggi pernah dicatatkan dalam sejarah negara berbanding kenaikan 13 peratus sebelum ini.

“Sejarah kenaikan paling tinggi sebelum ini, adalah 13 peratus dan tahun ini saya akan umum kenaikan itu lebih tinggi daripada 13 peratus.

“Maka kita akan laksanakan lebih 13 peratus peratus kenaikan mulai 1 Disember tahun ini, sebab saya sudah berjanji,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja 2024 bertemakan Pekerja Kesuma Bangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.

Beliau juga memberitahu kenaikan gaji penjawat awam akan melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Ini termasuk pendapatan menyeluruh penjawat awam meliputi gaji dan elaun tetapi mesti melebihi RM2,000 sebulan bermula tahun ini.

“Pada masa ini, jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam sedia ada adalah RM1,795 sebulan.

“Di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan, kerajaan akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan,” katanya.

Anwar menjelaskan kenaikan gaji kepada penjawat awam tertentu bagaimanapun boleh dikecualikan jika tidak menunjukkan prestasi membanggakan.

“Kalau rekod pekerjannya tak membanggakan, malas, sering lambat dan tidak beri tumpuan yang baik, tidak layak diberi ganjaran (kenaikan gaji) seperti yang dijanjikan kerajaan.

“Ini tanggungjawab kita bersama baik persatuan, rakan di jabatan untuk pastikan dua, tiga orang yang lembap ini biar dia kekal di jawatan sama selama-lamanya,” katanya.

Sementara itu, beliau mengumumkan Kerajaan Sabah dan Sarawak telah bersetuju membuat pindaan ke atas Ordinan Buruh Sabah (Ordinan Cap.67) dan Sarawak (Ordinan Bab 76) untuk diselaraskan dengan Akta Kerja 1955 yang terpakai di Semenanjung Malaysia.

Manakala, RUU Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 dan RUU Ordinan Buruh Sarawak akan dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang. – Astro Awani

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *