BERITA UTAMA

LTSIP sedia terima penerbangan antarabangsa

KOTA BHARU – Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini, sedia menerima penerbangan antarabangsa tahun ini susulan projek pembesaran fasa pertama sudah siap.

Pengurus Besar Kanan, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Kamaruzzaman Razali berkata, terminal baharu fasa 1 itu sudah mula beroperasi hari ini.

Beliau berkata, sesuai dengan pembaharuan tersebut, MAHB kini sedang mengadakan perbincangan dengan pengendali perkhidmatan penerbangan antarabangsa untuk mendarat terus di Kota Bharu.

“Walaupun baru siap fasa pertama, LTSIP sudah bersedia menerima penerbangan antarabangsa dan mampu menampung sehingga dua juta penumpang dalam setahun.

“Dengan adanya penerbangan antarabangsa, ia dapat meningkatkan ekonomi serta pelancongan negeri Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan operasi hari pertama LTSIP hari ini.

Kamaruzzaman berkata, ekonomi dan pelancongan negeri Kelantan dijangka berkembang sekiranya LTSIP dinaik taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa.

Katanya, secara purata jumlah penerbangan di Kelantan antara 30 hingga 35 sehari dan siapnya terminal fasa pertama ini ia dijangka bertambah dari semasa ke semasa.

Media sebelum ini melaporkan projek pembesaran dan menaik taraf LTSIP adalah bagi menambah baik fasiliti serta meningkatkan kapasiti terminal lapangan terbang kepada empat juta penumpang setahun dengan kos lebih RM440 juta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *