NARATHIWAT – Polis Daerah Sungai Golok, Selatan Thailand menutup sementara laluan di sepanjang kawasan sempadan Malaysia-Thailand melibatkan daerah Tak Bai, Sungai Golok dan Weng selepas kejadian letupan bom dan tembakan tengah malam semalam.
Dalam kejadian itu, empat anggota polis cedera, kata Ketua Polis Daerah Sungai Golok Pol. Col. Jadsadavit Inprapan.
Beliau berkata, jalan ke Sungai Golok dari daerah Tak Bai ditutup untuk pemeriksaan selepas skuad pemusnah bom menemukan paku bertaburan di jalan raya.
“Polis percaya sebahagian daripada kumpulan penyerang telah melarikan diri ke Malaysia mengikut laluan sungai.
“Manakala sebahagian lagi bersembunyi di kawasan berhampiran,” katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian.
Menurut Jadsadavit, ketika kejadian pada jam 12.05 tengah malam, empat anggota berkenaan sedang melakukan tugasan berhampiran pekan Sungai Golok.
Katanya, tiba-tiba kenderaan yang dinaiki meletup menyebabkan semua mereka mengalami kecederaan.
“Siasatan awal polis juga menemukan tiga butir bom yang tidak aktif, 50 kelongsong peluru dan paku bertaburan berhampiran tempat kejadian.
“Namun, setakat ini belum ada mana-mana kumpulan mengakui bertanggungjawab melakukan serangan ini,” katanya.
Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan setakat ini, tiada rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian berkenaan. – Nasionaldaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252