PERAK dipilih sebagai tuan rumah Sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat Kebangsaan Tahun 2024.
Baginda Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan majlis itu, hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain.
Turut bersama, Menteri Sumber Asli & Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad
Pemilihan Perak sebagai lokasi sambutan tahun ini adalah suatu pengiktirafan besar terhadap kekayaan biodiversiti dan topografi negeri itu.
Sehingga 31 Mac lalu, keluasan keseluruhan Hutan Simpanan Kekal adalah 988,826.98 hektar yang mewakili 96.4 peratus dari keluasan kawasan berhutan di Perak.
Sepanjang 2023, kerajaan Perak telah mewartakan seluas 4,655.55 hektar Hutan Simpanan Kekal baharu yang melibatkan 4,520.75 hektar hutan darat dan 134.80 hektar hutan paya laut.
Tambahan keluasan itu juga mengekalkan status Perak sebagai negeri yang mempunyai Hutan Simpan Kekal tertinggi di Semenanjung Malaysia iaitu 47 peratus.
Kerajaan negeri juga telah mengenal pasti kawasan hutan paya laut di Tanah Kerajaan Mukim Kuala Kurau dengan keluasan 880 ekar atau kira-kira 356.12 hektar untuk diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal yang baharu.
Malah, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM66.3 juta tahun ini bagi meneguhkan agenda Kelestarian Alam Sekitar, sejajar dengan Fokus Keempat Pelan Perak Sejahtera 2030.
Daripada jumlah itu, 81 peratus atau RM53.9 juta telah diagihkan kepada Jabatan Perhutanan Perak.
Pemantauan kawasan Hutan Simpanan Kekal di Perak menggunakan sistem Forest Monitoring using Remote Sensing (FMRS), Sistem e-Geospatial Perhutanan atau e-GP dan Sistem Matang Mangrove Forest Reserve atau e-MMFR adalah sangat relevan dan efisien berbanding pemantauan secara konvensional.
Sistem Amaran Awal Kepala Air atau Early Warning System-EWS juga telah digunakan di dua Taman Eko-Rimba di Perak sejak tahun 2023 bagi menjamin keselamatan pengunjung.
Sistem ini dapat mengesan reaksi kepala air seawal lima minit dengan memberi amaran melalui siren dan akan diperluaskan penggunaannya tahun ini di Taman Eko Rimba Ulu Kenas dengan peruntukan sebanyak RM350,000 daripada Kumpulan Wang Pembangunan Hutan (KWPH).
Kerajaan negeri telah menggerakkan inisiatif Menangani Perubahan Iklim dengan merealisasikan Agenda Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.
Sehingga 31 Mac lalu, sejumlah 7.88 juta pokok telah berjaya ditanam di seluruh Perak sejak 5 Januari 2021 dalam memenuhi tanggungjawab pemuliharaan hutan.
Jumlah itu jauh melebihi sasaran ditetapkan Kerajaan Persekutuan iaitu enam juta pokok.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252