KUALA LUMPUR – Berjaya Corporation Bhd (Berjaya Corp) membuat laporan polis terhadap dakwaan artikel mengaitkan Pengasasnya, Tan Sri Vincent Tan terbabit dalam perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuka kasino di Forest City, Johor.
Berjaya Corp berkata, wakil rasmi kumpulan sudah membuat laporan polis itu pada 26 April lalu bagi membolehkan siasatan menyeluruh mengenai perkara itu dapat dilaksanakan.
“Kami percaya polis akan melakukan yang perlu untuk menyiasat perkara ini supaya selepas ini sebarang penerbitan perlu dilakukan dengan lebih berhemah sebelum membuat sebarang dakwaan tanpa pengesahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Anwar, Berjaya Corp dan Genting Malaysia menafikan laporan Bloomberg, selain menggesa tindakan diambil terhadap syarikat media terbabit berhubung laporan itu.
Bloomberg melaporkan, Anwar menemui pengasas Berjaya Corp, Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay untuk membincangkan lesen kasino bagi Forest City, Johor.
Berjaya Corp berkata, penerbitan artikel yang berniat jahat itu diburukkan lagi oleh fakta yang tiada agensi berita membuat sebarang percubaan untuk mengesahkan kebenaran dan ketepatan kenyataan itu dengan pihaknya.
Katanya, ini terutamanya apabila kenyataan itu dikaitkan dengan sumber tanpa nama yang diragui kesahihannya.
Vincent Tan katanya, tidak mengambil bahagian dalam sebarang perbincangan sedemikian dengan mana-mana pihak yang dilaporkan termasuk Anwar dan Kok Thay serta pihak lain.
“Kami percaya penerbitan artikel asal serta penerbitan semula artikel yang mengandungi kenyataan palsu dibuat dengan niat jahat bertujuan untuk menyebabkan pergolakan politik, menjejaskan kepercayaan orang ramai dan memesongkan persepsi orang ramai,” katanya. – Berita Harian
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252