BERITA UTAMA

PRK KKB: Minta MCA tidak ganggu, cemar imej calon perpaduan

JOHOR BAHRU – MCA diminta tidak mengganggu dan mencemarkan imej calon Kerajaan Perpaduan dari DAP, Pang Sock Tao dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB).

Ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), Adam Adli Abd Halim berkata, pihaknya bersikap terbuka terhadap pendirian MCA, yang tidak memberikan sokongan terhadap calon dari DAP terbabit.

Beliau berkata, gangguan kempen bersifat mencemarkan imej perlu dielakkan supaya tidak mengeruhkan keadaan.

“Kita ambil sikap terbuka, kita terima kalau ada kemarahan atau perkara yang tidak selesai tetapi jangan pula mulakan kempen lain yang seolah-olah nak ganggu, cemarkan nama calon atau partinya sepanjang kempen pilihan raya berlangsung.

“Kita nampak terlalu ketara itu bukan satu kempen yang diperlukan dan guna alasan tidak wajar menggunakan video lama yang luar dari konteks. Kita tidak mahu memberi suasana terlalu bergelora, kita tak nak kempen sebegitu.

“Jadi saya harap ini perkara yang boleh rakan MCA pertimbangkan supaya kita tak keruhkan keadaan,” katanya pada sidang media selepas Program Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) di peringkat negeri Johor di Dewan Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, semalam.

Adam Adli yang juga Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), memaklumkan pihaknya juga berharap ada jalan untuk memperbaiki hubungan antara kedua parti tersebut.

Katanya walaupun kempen ini membabitkan lebih kurang 50,000 pengundi tetapi ia juga akan memberikan kesan nasional, yang membabitkan naratif isu nasional, isu kaum.

“Saya harap sangat kempen di PRK KKB ini dapat digerakkan scara sihat dan baik. Biasa kempen memang panas dan tidak dinafikan, tetapi jangan tambah gelora dan jangan timbulkan kempen tidak harmoni pelbagai kaum,” katanya.

Jumaat lalu, Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA dilapor memutuskan untuk tidak terbabit dalam sebarang aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada BN.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *