KUALA LUMPUR – Tan Sri Mokhzani Mahathir dan adiknya, Mirzan menepis dakwaan bahawa mereka berada di bawah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
Dalam kenyataan bersama, Mokhzani dan Mirzan berkata, perintah notis yang diberikan kepada mereka adalah sebagai anak kepada seseorang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Katanya, keseluruhan siasatan itu menjurus bagi menentukan sama ada bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri untuk memperkayakan mereka.
“Kami ingin memaklumkan di sini, kami berdua bukan di bawah siasatan SPRM seperti dilaporkan oleh sesetengah media. Perintah notis yang diberikan kepada kami adalah sebagai “anak” kepada seseorang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
“Kami menyangkal serta menolak tuduhan ini dan ingin membuktikan apa sahaja yang kami perolehi selama ini adalah melalui cara yang sah, menggunakan saluran betul tanpa membabitkan sebarang aktiviti jenayah.
“Memandangkan kami dikehendaki mengisytiharkan aset yang diperoleh selama tempoh 43 tahun dan disebabkan kekurangan rekod maklumat selama tempoh berkenaan, adalah membantu sekiranya pihak SPRM dapat menentukan (melanjutkan) tempoh masa bagi siasatan mereka,” katanya.
Katanya, terdapat juga sindiran yang menyatakan mereka memerlukan lebih banyak masa kerana kekayaan yang terlalu banyak.
“Ini tidak benar sama sekali,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengakui pihaknya kini sedang menjalankan siasatan terhadap Dr. Mahathir bersama dua anaknya.
Bagaimanapun, Azam tidak dapat memberikan maklumat secara jelas berkenaan isu yang sedang disiasat.
Mengulas lanjut mengenai lanjutan masa diperlukan, kedua-dua mereka memaklumkan kebanyakan dokumen diperlukan itu sudah tidak lagi boleh didapati terutama dari institusi kewangan dan juga sektor awam.
“Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) contohnya, hanya memerlukan pembayar cukai untuk menyimpan rekod yang mencukupi bagi tempoh tujuh tahun dan begitu juga dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Bagaimanapun, kami sedang berusaha sedaya upaya untuk mengumpulkan dokumen ini, tetapi ada yang hampir mustahil untuk diperolehi memandangkan ia tidak lagi wujud,” katanya. – Lapor Berita Harian
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!