BERITA UTAMA

Permintaan terhadap dron ‘kamikaze’ buatan Iran meningkat – Pakar

TEHRAN – Walaupun Israel dan Amerika Syarikat (AS) mendakwa berjaya menembak jatuh sebahagian besar dron ‘kamikaze’ dalam serangan dilancarkan baru-baru ini, namun ia dijangka tidak menjejaskan minat pelbagai negara terhadap dron buatan Iran itu.

Dron ‘kamikaze’ bukanlah sesuatu yang baharu dan ia juga dibekalkan AS kepada Ukraine dalam peperangan yang berterusan dengan Russia.

Dron ini adalah pesawat kecil tanpa pemandu penuh dengan bahan letupan yang boleh diterbangkan terus ke kereta kebal atau sekumpulan tentera. Apabila mengenai sasaran, ia terus meletup.

Nama ‘kamikaze’ itu berasal daripada juruterbang kamikaze Jepun era Perang Dunia I yang digeruni, apabila melakukan serangan berani mati dengan sengaja merempuh pesawat berisi bahan letupan mereka ke sasaran musuh.

Seorang pakar teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sistem tanpa pemandu sebuah badan pemikir di Washington, Samuel Bendett berkata, kebanyakan negara yang bercadang memperoleh dron buatan Iran tidak akan berhadapan dengan sistem pertahanan udara yang canggih seperti sistem pertahanan tercanggih Israel yang digelar Iron Dome (Kubah Besi).

“Pada negara-negara ini, dron buatan Iran adalah amat berkesan jika digunakan terhadap musuh-musuh mereka.

“Kejayaan Israel mematahkan serangan dron Iran baru-baru ini tidak akan membantutkan jualannya.

Negara-negara yang mahu dasar politik dan ketenteraan bebas daripada pengaruh AS akan tetap membeli dron buatan Iran,” katanya.

Penggunaan dron ‘kamikaze’ buatan Iran dalam konflik di Ukraine dan Asia Barat melonjakkan minat pelbagai negara yang dilaporkan ‘berlumba-lumba’ untuk memulakan rundingan dengan Tehran bagi memperoleh dron buatan negara itu.

Maklumat dan data yang diperoleh dari Institute of Peace, AS menyatakan selain kumpulan proksi seperti Hizbullah dan di Iraq serta Syria, Tehran turut mengeksport dron keluarannya kepada sekurang-kurangnya tujuh negara.

Tujuh negara itu, termasuk Tajikistan dan Venezuela, malah agensi berita Reuters juga mengatakan dron buatan Iran kini turut digunakan dalam konflik yang sedang berlaku di Sudan.

“Sasaran potensi bagi eksport dron Iran selepas ini termasuk Bolivia dan Belarus, tetapi kita juga boleh menjangkakan lebih banyak dron Iran digunakan di negara-negara di Afrika dan juga Amerika Selatan,” menurut seorang penganalisis.

Pada ketika ini, dron buatan Iran digunakan di empat benua dari Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Selatan.

Pada Februari lalu, Russia dilapor bersetuju membelanjakan AS$1.75 bilion dalam usahanya menghasilkan kira-kira 6,000 dron ‘kamikaze’ Shahed-136 keluaran Iran untuk digunakan oleh tenteranya untuk membedil sasaran di Ukraine. – AGENSI

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *