KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) terkejut dengan kenyataan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh melarang pegawainya menolak permohonan pasport atas alasan pemohon tidak fasih berbahasa kebangsaan.
Naib Presidennya, Datuk Asmawar Samat berkata, kenyataan itu menunjukkan seolah bahasa Kebangsaan yang menjadi dasar negara dan terkandung dalam perlembagaan tidak lagi berdaulat pada kaca mata pihak berkenaan demi menjaga hati individu tertentu.
“Mengapa tiba-tiba pegawai tidak boleh menolak! Apa sudah jadi? Arahan seperti ini amat mendukacitakan. Sia-sia kami menggalak dan memperkasakan kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara.
“Mengikut Perlembagaan, semua urusan rasmi kerajaan wajib menggunakan bahasa Kebangsaan termasuk urusan pasport di Imigresen.
“Langkah ini bukan akan membawa negara maju ke hadapan, sebaliknya kemuncak kepada prestasi terburuk yang boleh membawa langkah mundur ke belakang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Asmawar, banyak langkah boleh dilakukan mereka yang berada dalam kerajaan bagi memperkasakan bahasa Malaysia tanpa menjejaskan dasar.
“Dalam hal ini, Putra berpandangan Teras Dasar Negara ke atas bahasa Malaysia tidak boleh dikompromi kerana boleh merosakkan kejituan dan kemantapan sistem sosial negara.
“Kalau dasar negara sanggup dirobek dan digadai, maknanya pemimpin politik yang berkuasa sudah sanggup bertindak menjerat leher penjawat awam dan mereka sendiri.
“Sedar atau tidak, sikap merai atau melayan orang tertentu secara berlebihan sudah melangkaui tahap bertoleransi dalam amalan demokrasi sehingga merimaskan ramai pihak berjiwa negara bangsa,” katanya.
Beliau berkata, sama ada sudah atau belum terlewat, namun tiba masanya kerajaan memikirkan kesan buruk produk sekolah vernakular ke atas anak bangsa yang akan mewarisi masa depan negara.
Katanya, kalau acuannya tepat, bestarilah jadinya mereka, tetapi apa yang berlaku sekarang seolah sebaliknya. – Nasionaldaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!