KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Malaysia memuji tindakan berani pegawai Imigresen tidak memproses permohonan memperbaharui pasport seorang individu kerana tidak fasih berbahasa Melayu.
Ketuanya, Dr. Akmal Saleh berkata, tindakan pegawai itu banyak menyedarkan realiti yang berlaku di Malaysia, walaupun tiada peruntukan undang-undang mewajibkan mana-mana warganegara perlu bertutur bahasa Melayu sebagai syarat memperbaharui pasport.
“Walaupun ia bukan syarat, tetapi tindakan pegawai Imigresen itu perlu dipuji, tambahan pula dengan kebanjiran warganegara asing ke negara ini makin bertambah dan mereka perlu memastikan kesahihan warganegara Malaysia sahaja yang benar-benar layak untuk urusan pasport
“Rentetan dari isu ini Pemuda UMNO menggesa kerajaan mahupun pihak pembangkang membawa satu usul ke persidangan Parlimen untuk mengubal undang-undang agar antara syarat wajib untuk diiktiraf sebagai warganegara Malaysia mestilah wajib bertutur dalam bahasa Melayu.
“Jika warga Bangladesh yang datang ke Malaysia boleh bertutur dalam bahasa Melayu, apa ertinya kita yang mengaku warganegara, tetapi masih tidak mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Isnin lalu, beberapa portal media melaporkan kekecewaan seorang lelaki tidak dapat memperbaharui pasport ibunya kerana tidak boleh berbahasa Melayu di UTC Pulau Pinang.
Hantaran lelaki itu tular di media sosial, selepas dia meluahkan rasa kesal dan kecewa apabila berurusan dengan kakitangan Imigresen UTC di Komtar untuk memperbaharui pasport ibu bapanya.
Difahamkan, proses kemas kini pasport bapanya berjalan lancar, tetapi ibu lelaki itu menghadapi masalah kerana tidak fasih berbahasa Melayu.
Walaupun sudah menerangkan, ibunya hanya mampu berbahasa Melayu dengan terhad susulan tidak bersekolah, kakitangan UTC Komtar tetap tidak menerima alasan itu.
Bagaimanapun, tindakan kakitangan itu menerima teguran daripada Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh yang menegah pegawainya menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan.
Kata beliau, pihaknya mengambil maklum berhubung laporan itu dan pelanggan terbabit sudah dapat memperbaharui pasport dan mengambilnya di Pejabat UTC Pulau Pinang pada hari sama iaitu 22 April lalu.
Mengulas lanjut, Dr. Akmal berkata, Pemuda UMNO Malaysia akan menggunakan pelbagai saluran untuk memastikan usul itu dapat dibawa seterusnya dijadikan satu undang-undang dalam negara ini. – NasionalDaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!