NIBONG TEBAL – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan terhadap pemandu warga asing (PeWA) yang memandu kenderaan tanpa lesen.
Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, pihaknya memandang serius kesalahan itu kerana ia menunjukkan trend peningkatan sejak kebelakangan ini yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.
“Berdasarkan rekod statistik tahun lepas, sebanyak 534 notis saman telah dikeluarkan terhadap pemandu warga asing dan menyita 416 kenderaan, manakala untuk tahun ini setakat semalam sebanyak 267 notis saman dikeluarkan dan 124 kenderaan disita.
“Tiada lesen memandu merupakan antara kesalahan tertinggi yang dikesan dengan kebanyakan mereka ditahan melibatkan warga Pakistan, Bangladesh, Myanmar, Indonesia serta etnik Rohingya,” katanya kepada pemberita pada sidang media Op Khas sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 di Stesen Penguatkuasaan JPJ Valdor di sini, petang semalam.
Zulkifly mengingatkan pemilik kenderaan supaya berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya membenarkan warga asing memandu tanpa dokumen sah atau tindakan boleh diambil terhadap mereka mengikut Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987.
Dalam operasi itu, seorang warga Indonesia yang memandu lori milik syarikat tanpa lesen sah ditahan Unit Peronda Bermotosikal (UPB) JPJ ketika cuba melarikan diri dari sekatan.
Lelaki berusia 28 tahun itu mendakwa, dia terpaksa memandu lori berkenaan kerana pemandu sebenar bercuti dan ketika ditahan dia dalam perjalanan pulang ke rumah.
JPJ turut menahan sebuah lori dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an kerana disyaki cuba menyeludup diesel.
Sebanyak 24,990 kenderaan diperiksa sepanjang tempoh Op HRA 2024 yang bermula 1 April hingga hari ini dengan 3,298 daripadanya dikenakan tindakan, termasuk 6,110 notis saman, selain 182 kenderaan disita.
“Kesalahan paling tinggi tiada lesen memandu iaitu sebanyak 1,268 notis saman diikuti Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (1,017) dan tiada perlindungan insurans membabitkan 875 notis saman,” katanya.
Operasi hari ini dijalankan secara bersepadu bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), menyaksikan 181 kenderaan dengan 213 notis saman dan enam notis sita dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Sebanyak 30 notis saman turut dikeluarkan JSPT, JAS enam kompaun dan enam notis uji semula serta lima larangan penggunaan, AADK (enam positif dadah), MBSP (dua kompaun) selain 10 tangkapan oleh pihak Imigresen membabitkan lapan lelaki dan dua wanita yang tidak mempunyai dokumen,” katanya. – BERNAMA
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!