BERITA UTAMA

Kalau tak mampu, serah semula tanah Kampung Sungai Baru kepada penduduk

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menggesa pemaju projek pembangunan semula kawasan di Kampung Sungai Baru di sini, menyerahkan semula tanah berkenaan jika tidak lagi mempunyai kemampuan meneruskan projek berkenaan.

Ini kerana, menurut Menteri Perladangan dan Komoditi itu, beliau dapati kawasan berkenaan belum menyaksikan sebarang projek pembangunan bermula walaupun 95 peratus penduduk di situ sudah berpindah sejak enam tahun lalu.

Katanya, walaupun sudah berkali-kali perbincangan dilakukan, langsung tidak ada perkembangan berhubung perkara itu kerana mendapati syarikat terbabit kemungkinan berdepan masalah kewangan.

“Mereka memindahkan hampir 200 penduduk dan sehingga hari ini, sudah enam tahun mereka berpindah, tetapi tidak dapat balik unit mereka.

“Saya nak bawa pemaju yang merancang untuk membina ini, kalau sudah enam tahun (berlalu), kalau tak boleh nak buat kerana tidak ada kewangan dan kerajaan sudah bagi sokongan untuk pengambilalihan tanah.

“Sudah buat semua, tetapi syarikat pemaju tak boleh teruskan untuk pembangunan ini, untuk membawa balik orang yang sudah berpindah,” katanya yang dipetik laporan Harian Metro.

Sehubungan itu, Johari mencadangkan supaya pemaju serahkan kembali tanah itu kepada syarikat atau agensi kerajaan yang lebih berwibawa untuk menyiapkan projek berkenaan.

Berikutan projek pembangunan yang belum lagi bermula, beliau berkata, bangunan yang berada di situ bertukar menjadi tempat masalah sosial.

Dakwanya, bangunan yang kosong di kampung itu kini menjadi ‘pusat’ menghisap dadah.

“Hari ini kalau kita tengok Kampung Sungai Baru, masyarakat sudah pindah dan bangunan pun kosong. Sudah jadi macam pusat orang datang hisap dadah di dalamnya.

“Kalau kita tengok tikus pun ada di dalamnya sebab bangunan tak ada orang nak buat. Jadi, saya nak desak Jabatan Wilayah Persekutuan dan juga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta pemaju, kalau tak boleh buat agar serahkan semula sebab orang tunggu lama.

“Penduduk sudah korbankan rumah mereka, tetapi mereka tak dapat balik rumah. Yang ini saya tekankan supaya saya akan terus pastikan projek ini mesti dimulakan. Untuk menunjukkan ia dimulakan, kena roboh dulu blok yang dikosongkan supaya tidak ada isu yang berbangkit dalam kawasan berkenaan,” katanya.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru, dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.

Sesetengah penduduk terutama penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pada Februari tahun lalu, penduduk Kampung Sungai Baru menyerahkan memorandum supaya kerajaan membatalkan penangguhan projek pembangunan kawasan itu seperti diumumkan Perdana Menteri.

Majoriti penduduk mahu pembangunan semula kawasan itu yang tertangguh sejak enam tahun lalu diteruskan.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.

Sesetengah penduduk terutama penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWKL).

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengarahkan supaya projek pembangunan semula kawasan di Kampung Sungai Baru, tidak ditangguhkan lagi selepas ia sudah tertangguh sejak enam tahun lalu. – Laporan Harian Metro

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *