KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berpendirian Iran berhak bertindak balas atas serangan Israel yang menyasar kedaulatan konsulatnya di Damsyik dan membunuh tujuh orang, termasuk seorang pemimpin IGRC.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, serangan Israel ke atas bangunan konsulat Iran itu minggu lalu terang-terangan melanggar Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.
“Bagaimanapun, kami berpendirian mencetuskan peperangan rantau perlu dielakkan. Agenda Israel memprovokasi peperangan yang mahu mengheret kuasa besar harus ditangani dengan bijak.
“Iran bertindak bijak menghentikan eskalasi ketegangan Asia Barat setelah melancarkan serangan balas ke atas Israel dengan mengelak perang rantau tercetus.
“Namun, jika Israel terus bertindak ganas mahu meningkat provokasi peperangan dan mengheret kuasa barat untuk berperang dengan Iran, kami berpendapat Iran berhak memberi respons sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Mohd Azmi, apabila kedaulatan sesebuah negara diceroboh tanpa sebab, mengikut Piagam PBB, negara berkaitan berhak bertindak mempertahankan diri.
Malah, MAPIM mengutuk serangan Israel ke atas konsulat Iran kerana jelas menyasarkan pemimpin IGRC negara itu.
“Majlis Keselamatan PBB menolak desakan Iran agar agensi itu mengutuk tindakan Israel. Ini disebabkan kuasa veto Amerika Syarikat yang membela Israel.
“Oleh itu, berdasarkan Artikel 51 dalam Piagam PBB, serangan balas Iran adalah sah,” katanya.
Beliau berkata, sikap dwi standard dan hipokrasi kuasa barat yang terus menyokong negara teroris Israel inilah menyebabkan negara haram itu sewenang-wenangnya bertindak sesuka hati, walaupun melanggar Piagam PBB dan peraturan dunia.
Jelasnya, dasar luar negara barat menyokong Israel tanpa batas menjadi punca kepada keganasan negara haram itu yang bertindak sebagai negara teroris.
“Kami menuntut agar masyarakat antarabangsa mengutuk dan mengenakan sekatan ke atas Israel atas jenayah perang dan jenayah ke atas kemanusiaan yang dilakukannya.
“Tekanan maksima untuk menghukum Israel secara memutuskan hubungan diplomatik dan sekatan ekonomi serta membawa jenayah israel ke mahkamah dunia,” katanya. – NasionalDaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!