BERITA UTAMA

Kes rempuh mati 3 lelaki pagi raya: Pemandu kereta akan didakwa esok

TELUK INTAN – Lelaki yang didapati positif ganja dalam kemalangan maut membabitkan tiga lelaki warga Pakistan, pagi semalam, akan dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Majistret Teluk Intan, esok.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek lelaki berusia 36 yang sedang direman selama empat hari sehingga Ahad ini turut disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kertas siasatan bagi kesalahan berkenaan sudah dilengkapkan dan suspek akan dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Majistret Teluk Intan, esok.

“Selain itu, kertas siasatan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu semasa di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kematian akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, tiga lelaki warga Pakistan maut, manakala tiga lagi parah dirempuh kereta dipandu suspek ketika berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Dalam kejadian di Kilometer 16 Jalan Teluk Intan-Bidor, dekat Batu 12 Changkat Jong, di sini, apabila sebuah Proton Saga dipandu suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai makan terbabas dan melanggar enam warga Pakistan yang sedang berjalan kaki di bahu jalan.

Identiti tiga mangsa yang maut dikenali sebagai Zahir Nur Muhammad, 31; Shayan Mumtazali, 22 dan Adil Noorullah, 33.

Tiga lagi individu cedera ialah Kamran Muhammad Wali, 26; Yasen Afzalsha, 19 dan Salem Said Rasol, 23.

Sementara itu, rakan sekerja kepada Zahir, Hazrat Ali Hamdullah, 35, berkata, Allahyarham yang mempunyai seorang isteri dan tiga anak sudah dua tahun tidak pulang ke kampung halaman di Mardan, Pakistan.

“Zahir sudah bekerja bersama saya di kilang papan berhampiran lokasi kemalangan selama enam tahun.

“Semasa bersarapan pagi semalam, Zahir beritahu bahawa dia ada beli daging dan mahu memasak briyani selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri.

“Kami berjalan kaki ke Masjid Jamek KampungAyer Hitam, bagaimanapun secara tiba-tiba kami dilanggar kereta dari arah belakang. Zahir, Shayan dan Adil terpelanting sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumah kongsi mereka di Batu 12, Changkat Jong, di sini, hari ini.

Seorang lagi mangsa yang terselamat, Mubassir Ali Said Ali Shah, 23, berkata dia masih terkejut dengan insiden yang mengorbankan rakan-rakannya itu.

Terdahulu, tular video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 55 saat di laman Facebook memaparkan sebuah Proton Saga berwarna putih melanggar enam pejalan kaki sehingga sebahagian mereka terpelanting ke dalam parit dan jalan raya.

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *