PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memaklumkan pindaan Perlembagaan parti itu telah mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Ketua Armada parti, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, perlembagaan Bersatu yang dipinda pada Perhimpunan Khas 2 Mac lalu boleh digunapakai berkuatkuasa semalam, 1 April 2024.
Menurut beliau, dengan kelulusan itu bermakna Bersatu boleh mula mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen yang telah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Alhamdulillah, RoS telah lulus permohonan pindaan Perlembagaan Bersatu yang membolehkan kami mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen yang telah menyokong (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.
“Langkah seterusnya mengosongkan kerusi-kerusi mereka ini untuk pilihan raya kecil (PRK) peringkat Parlimen,” katanya dalam hantaran Facebooknya hari ini.
Pada 2 Mac lalu, Perhimpunan Agung Khas Bersatu meluluskan pindaan Perlembagaan parti itu berhubung pelucutan keahlian parti bagi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Dewan Negeri menyokong mana-mana pihak yang bertentangan dengan parti atau musuh.
Pindaan itu membabitkan tiga perkara di bawah Fasal 10 Perlembagaan Bersatu iaitu berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti.
Kelulusan sebulat suara pindaan itu diumumkan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah di hadapan 1,956 perwakilan dari bahagian, sayap Armada, Srikandi dan Srikandi Muda yang hadir.
Cadangan pindaan itu telah diserahkan sendiri Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada RoS pada 11 Mac lalu di Putrajaya.
Dokumen cadangan pindaan itu diserahkan kepada Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad.
Sebelum ini, Bersatu mahu meminda perlembagaan parti berikutan tindakan enam Ahli Parlimennya yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar tanpa mengisytiharkan keluar daripada parti.
Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – NasionalDaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!