BERITA UTAMA

Israel, Hamas degil enggan patuhi resolusi UNSC

KAHERAH – Israel dan Hamas tetap berdegil mahukan syarat masing-masing bagi gencatan senjata menyeluruh di Gaza dipenuhi, sekali gus menolak resolusi diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Hamas berpegang kepada syor asalnya iaitu mahu tentera Israel berundur sama sekali dari Gaza dan memastikan penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal kembali semula ke wilayah berkenaan.

Hamas turut menuntut pertukaran tahanan yang merujuk kepada pembebasan rakyat Palestin dari penjara Israel sebagai timbal balas untuk tebusan Israel yang ditahan di Gaza.

Israel pula tetap dengan pendirian mahu kumpulan pejuang Hamas dihapuskan sama sekali dan semua tebusan yang diculik Israel dibebaskan bagi pertukaran tahanan Plaestin.

Pendirian Hamas dan Israel itu dimaklumkan kepada pengantara rundingan konflik Israel-Palestin, selepas UNSC semalam meluluskan usul gencatan senjata dengan 14 negara anggota menyokong manakala Amerika Syarikat (AS) memilih untuk berkecuali.

Resolusi dibentangkan 10 ahli majlis berkenaan yang dipilih itu menuntut pembebasan segara dan tanpa syarikat semua tebusan, sekali gus mencetuskan perbalahan dengan sekutu AS iaitu Israel.

Orang ramai kembali ke lokasi rumah masing-masing yang kini hanya tinggal timbunan runtuhan, di Nuseirat, Semenanjung Gaza, bagi mencari barangan yang masih boleh digunakan. – Foto AFP

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak memberi sebarang reaksi terhadap tuntutan kumpulan terbabit tetapi sudah mengeluarkan kenyataan menolak resolusi terbaharu UNSC.

Pada pertengahan bulan ini, Hamas ada membentangkan beberapa tuntutan kepada pengantara rundingan berkenaan.

Antaranya, menggesa pengisytiharan gencatan senjata di Gaza selain mahu pembebasan tebusan Israel sebagai pertukaran tahanan warga Palestin, yang mana 100 daripadanya sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup.

Menurut Hamas, pembebasan awal warga Israel akan termasuk wanita, kanak-kanak, warga emas dan tahanan yang sakit sebagai timbal balas kepada pembebasan 700 hingga 1,000 warga Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Seorang lelaki Palestin menarik seorang wanita warga emas berkerusi roda untuk mendapatkan perlindungan daripada pengeboman bertubi-tubi Israel di Bandar Gaza. – Foto AFP

Dalam syor dikemukakan oleh kumpulan pejuang Palestin itu, ia termasuk pembebasan ‘rekrut wanita’.

Pejabat Perdana Menteri Israel kemudian memberi maklum balas terhadap syor Hamas dengan menyifatkan ia sebagai permintaan tidak munasabah, sambil berikrar akan meneruskan serangan daratnya sehingga Hamas berjaya dihapuskan.

Duta Besar Israel ke PBB, Gilad Erdan, mengkritik UNSC kerana meluluskan langkah yang menggesa gencatan senjata ‘tanpa menyelaraskan pembebasan tebusan’.

Menteri Luar Israel, Israel Katz pula dalam hantarannya di akaun media sosial X berkata, negaranya tidak akan mematuhi resolusi itu.

“Israel tidak akan melaksanakan gencatan senjata. Kami akan memusnahkan Hamas dan terus berjuang sehingga tebusan terakhir pulang ke tanah air,” katanya. – AGENSI

 

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

 Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *