KUALA LUMPUR – UMNO menyifatkan cadangan Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau agar Dr. Akmal Saleh mendesak kerajaan China minta maaf berhubung isu stoking tertera kalimah Allah sebagai tidak masuk akal dan dungu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, cadangan dan desakan itu menunjukkan pemimpin berkenaan seperti mati akal untuk membela kedai serbaneka KK Mart.
“Saya dimaklumkan, selain anggota Parlimen ini, ada pula kumpulan 40 individu kononnya mewakili suara awam, menyelar tindakan boikot kedai itu.
“Baru mereka tahu kuasa pengguna orang Islam. Kesannya cukup berat. Sebab itu isu stoking pamer kalimah Allah cuba dialih kepada isu ekonomi,” katanya dalam entri terbaharunya menerusi Facebook beliau, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Wilfred yang menyelar reaksi tidak seimbang Dr. Akmal mendepani kontroversi stoking tertera kalimah Allah, sambil menyindir supaya Ketua Pemuda UMNO itu menuntut permohonan maaf dari China.
Pada masa sama, sekumpulan orang awam pelbagai latar belakang menolak keputusan UMNO untuk menyokong penuh gesaan Dr. Akmal memboikot rangkaian kedai serbaneka KK Mart.
Kumpulan itu menerusi kenyataan bersama menuntut semua pihak supaya menerima proses penyiasatan dan keadilan yang sedang dilakukan pihak berkuasa ketika ini.
Menurut Dr. Puad, antara naratif kluster pembela KK Mart ini ialah syarikat itu akan didakwa dan dedenda, malah mereka sudah meminta maaf, kenapa mesti diboikot?
Katanya, rakyat bukan naïf kerana bab syarikat disaman dan didenda berulang kali bukan perkara baru.
“Mereka sanggup bayar denda yang mahal, tetapi mereka akan terus berniaga dan melanggar peraturan berulang kali.
“Sebab itu rumah urut, pusat hiburan, kelab malam tidak kesah didenda banyak kali dengan denda yang tinggi. Mereka tidak serik dan akan buat lagi.
“Mereka hanya tutup kedai jika pelanggan lari dan boikot. Sebab itu boikot KK Mart adalah pengajaran besar.
“Kepada 40 individu konon mewakili suara awam berhak membela KK Mart. Silakan. Tetapi jangan halang hak orang lain yang mahu memboikot,” ujar beliau. – NasionalDaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!