BERITA UTAMA

27,000 tentera tak berpencen sudah dapat RM300 sebulan

ALOR GAJAH – Seramai 27,000 daripada 41,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen di seluruh negara sudah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berjumlah RM300 sebulan setakat ini.

Penyaluran bantuan bulanan itu dilakukan sejak September lalu dengan menyasarkan veteran ATM yang diklasifikasikan sebagai miskin tegar dan berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kerajaan komited membantu veteran ATM dengan peningkatan peruntukan sebanyak 167 peratus tahun ini dan sentiasa memantau aspek kebajikan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM.

“Sumbangan paling besar yang kita beri pada tahun ini adalah BSH kepada anggota veteran tidak berpencen. Mereka selama ini hanya dapat bantuan ‘one-off’ atau sekali bayar, kadang-kadang satu tahun sekali.

Sekarang ini kita bagi RM300 sebulan kepada mereka yang berada di bawah garis kemiskinan,” katanya dipetik Berita Harian.

Beliau dilaporkan berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa Parlimen Alor Gajah di Gangsa, dekat sini, malam tadi.

Mengenai kesiapsiagaan aset udara ATM dalam membantu operasi pembenihan awan (OPA) susulan cuaca panas ketika ini, Adly memaklumkan, pihaknya sedia memberikan kerjasama penuh jika diminta.

“Biasanya jika ada permintaan daripada pihak berkaitan, kita beri kerjasama dan aset kita juga dalam keadaan bersedia. Sebelum ini kita pernah buat di Sabah dan jika di Semenanjung ada tuntutan pun, kita akan bantu,” katanya. – NasionalDaily

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *