MOSCOW – Jumlah mereka yang terbunuh dalam serangan pengganas di Dewan Bandaraya Crocus di wilayah Moscow meningkat kepada 143 orang, kata Ketua Pengarang RT dan kumpulan media Rossiya Segodnya, Margarita Simonyan.
“Lebih banyak mangsa berbanding pada (2002) Nord-Ost (krisis tebusan panggung Teater Dubrovka di Moscow). Seramai 143 orang (terbunuh). Oh Tuhan, tenangkanlah jiwa mereka,” kata Simonyan di Telegram, lapor Sputnik.
Insiden tembakan berlaku pada petang Jumaat di tempat konsert, Dewan Bandaraya Crocus di bandar Krasnogorsk, di luar Moscow, diikuti dengan kebakaran besar.
Seorang wartawan Sputnik menyaksikan serangan itu melaporkan sekurang-kurangnya tiga lelaki berpakaian penyamaran memecah masuk ke dalam dewan, melepaskan tembakan berulang kali dan melontarkan bom pembakar.
Sebelas orang telah ditahan berhubung serangan itu, termasuk empat individu yang bertanggungjawab secara langsung, kata Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB).
Keempat-empat mereka ditahan di wilayah Bryansk Rusia, bersempadan dengan Ukraine, selang beberapa jam, kata FSB. – BERNAMA-SPUTNIK
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!