BERITA UTAMA

Niat baik kerajaan Madani untuk martabat guru Pasti – Jeming

KUALA LUMPUR – Mengkategorikan guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sebagai ‘sukarelawan’ dengan tidak perlu tertakluk di bawah Akta Pekerja sama seperti ke arah memperguna atau mengeksploitasi tenaga buruh.

Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Hazmi Hassan berkata, umum tahu guru yang dianggap sebagai sukarelawan oleh parti Pas itu sudah banyak menabur jasa dan bakti dalam proses kemenjadian anak-anak menghayati nilai Islam.

Kata beliau, sudah tentu, mereka yang menjadi tonggak kepada pusat asuhan itu telah banyak berkorban masa dan tenaga mendidik anak-anak seawal pagi hingga lewat petang, lima hari seminggu.

“Maka itu, mereka layak dikategorikan sebagai pekerja yang bekerjaya.

“Tetapi malangnya, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi menyatakan, mereka ini dikategorikan sebagai ‘sukarelawan’ yang tidak memerlukan sebarang caruman KWSP mahupun SOCSO.

“Ini amat tidak bertanggungjawab dan lebih condong ke arah memperguna atau mengeksploitasi guru berkenaan sebagai tenaga buruh,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Afnan Hamimi yang mendakwa guru Pasti yang digerakkan Pas bukanlah pekerja, sebaliknya hanya sukarelawan.

Dalam sidang media di Dewan Rakyat kelmarin, Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar mempersoalkan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mahu menyiasat pusat asuhan itu, yang dianggapnya sebagai satu tekanan dari kerajaan Madani.

Mengulas lanjut, Hazmi yang lebih dikenali dengan panggilan Jeming memberitahu, kenyataan Ketua Pemuda Pas itu bertentangan dengan pernyataan mahkamah buruh yang memutuskan guru Pasti juga tertakluk di bawah Akta Pekerja.

Jelas beliau, kerajaan Madani melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sentiasa komited untuk mengurus gaji patut, caruman KWSP dan kebajikan mereka terbela selayaknya seperti termaktub dalam Akta Pekerja tanpa mengira latar belakang politik.

“Tuduhan Afnan Hamimi, pempertikai usaha baik Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dalam siasatan ke atas Pasti, Sekolah Rendah Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) serta mengaitkan ia dengan isu Islam terancam adalah melampau dan tidak berasas.

“Pemuda Amanah menasihati kepada semua Mualimah serta pimpinan Pemuda Pas agar lebih terbuka dan memberi kerjasama baik kepada kerajaan.

“Ini demi membantu menambahbaik hak pekerja supaya tuduhan kononnya Pemuda Pas mengekploitasi pekerja bagi penjanaan keuntungan serta melayan guru Pasti lebih teruk daripada pekerja asing dapat dibersihkan,” ujar beliau. – NasionalDaily

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *