PRINCESS of Wales, Kate Middleton mengesahkan sedang menjalani kemoterapi pencegahan susulan keputusan ujian diambil selepas menjalani pembedahan perut mendedahkan terdapat kehadiran kanser.
Kate, isteri pewaris takhta Putera William berusia 42 tahun, menyifatkan penemuan kanser itu sebagai “satu kejutan besar”.
Berita itu adalah satu ujian kesihatan terbaharu kepada keluarga diraja Britain itu selepas Raja Charles III juga dikhabarkan sedang menjalani rawatan untuk kanser.
Kate menghabiskan dua minggu di hospital pada Januari selepas menjalani pembedahan di perut.
Bagaimanapun, Kate berkata, ujian berikutnya telah menunjukkan penemuan kanser.
Jelas Kate, beliau kini berada dalam peringkat awal kursus kemoterapi pencegahan mengikut nasihat pasukan perubatan.
Menjelaskan lebih lanjut, Kate berkata, beliau dan William telah melakukan segala yang mampu untuk memproses dan menguruskan perkara itu secara peribadi demi keluarga muda mereka.
Dalam masa sama, Kate menjelaskan beliau dan William mahukan privasi mengenai kanser sehingga anak-anak mereka, Putera George, 10 tahun, Puteri Charlotte, 8 tahun, dan Putera Louis, 5 tahun, memulakan cuti sekolah pada Jumaat.
Katanya, apa yang penting adalah untuk menjelaskan segala-galanya kepada anak-anak mereka dan meyakinkan beliau dalam keadaan baik.
Kate tidak pernah muncul di acara awam sejak beliau menyertai ahli keluarga diraja yang lain di gereja pada Hari Krismas tahun lalu.
Bagaimanapun, video dirakam pada Sabtu lalu oleh orang awam yang diterbitkan akhbar Sun menunjukkan Kate kelihatan sihat, berjalan dan membawa beg membeli-belah bersama suaminya di sebuah kedai ladang di Windsor, berhampiran rumah mereka.
Kate dalam pada itu memohon orang awam memahami dan memberikan masa, ruang serta privasi untuknya menyelesaikan rawatan.
Tambahnya, fokus beliau kini untuk memulihkan kesihatannya.
Kate adalah rakyat biasa pertama berkahwin dengan seorang putera raja yang berdekatan dengan takhta dalam tempoh lebih 350 tahun.
Beliau berkahwin dengan William pada 2011 dan sejak itu telah menjadi salah seorang kerabat diraja paling popular.
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!